Moon bakal umum perincian ‘Perjanjian Baharu’

SEOUL, 8 JULAI – Presiden Moon Jae In akan membuat pengumuman terperinci kepada umum minggu depan mengenai pakej ‘Perjanjian Baharu’ yang bertujuan mewujudkan pekerjaan dan memupuk pertumbuhan ekonomi akibat impak pandemik COVID-19, kata Pejabat Presiden (Cheong Wa Dae) hari ini.

Beliau mendengar taklimat daripada Menteri Kewangan Hong Nam-ki mengenai skim ‘komprehensif’ yang disebut Perjanjian Baharu versi Korea hari ini, lapor agensi berita Yonhap, menurut jurucakap pejabat presiden, Kang Min Seok.

Hong, yang juga Timbalan Perdana Menteri untuk ekonomi, memberikan perincian rancangan itu, termasuk projek-projek khas dan anggaran perbelanjaan, yang dibuat dalam perundingan antara kerajaan, iaitu Parti Demokrat dan Pejabat Presiden. – Bernama