Moon jangka kejayaan rundingan Kim-Trump

SEOUL, 11 Jun – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in (gambar) hari ini berkata sidang kemuncak antara Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) dan Amerika Syarikat (AS) dijangka menjadi tonggak bersejarah bagi perdamaian di semenanjung Korea.

Moon membuat kenyataan itu semasa mesyuarat mingguan dengan setiausaha kanannya, sehari sebelum sidang kemuncak pertama antara DPRK-AS, menurut kenyataan dari Rumah Biru.

Moon menyatakan hasratnya bahawa sidang kemuncak antara pemimpin DPRK, Kim Jong Un dan Presiden AS, Donald Trump itu akan mengetepikan pertikaian di semenanjung Korea dan mencapai persetujuan yang besar supaya semenanjung itu bebas daripada senjata nuklear, sambil memuji kedua-dua pemimpin itu atas sikap berani mereka.

Moon juga menggesa pemimpin DPRK dan AS untuk menyuarakan permintaan mereka dengan berani antara satu dengan yang lain, dengan menyatakan dia mempunyai harapan untuk kejayaan sidang kemuncak itu.

Rundingan peringkat kerja antara Pyongyang dan Washington dilaporkan sedang dijalankan di Singapura untuk menyempurnakan perjanjian akhir yang mungkin dapat dicapai antara Kim dan Trump.

Trump berkata sebelum ini bahawa sidang kemuncak bersama dengan pemimpin DPRK boleh menjadi sesi ‘suai kenal’ menunjukkan bahawa ia akan memerlukan lebih daripada satu pertemuan untuk mencapai matlamat utamanya untuk mengetepikan senjata nuklear sepenuhnya.

Presiden Moon berkata permusuhan yang berakar umbi dan isu senjata nuklear tidak boleh diselesaikan melalui satu sidang kemuncak, meramalkan bahawa ia boleh mengambil masa sehingga satu atau dua tahun, bahkan mungkin lebih lama untuk menyelesaikan sepenuhnya isu-isu tersebut walaupun selepas sidang kemuncak Kim-Trump dijalankan.

Sehingga penghujung resolusi lengkap, Moon berkata, Seoul, Pyongyang dan Washington harus melakukan usaha ikhlas di bawah kerjasama yang berterusan antara mereka.

Dia juga menekankan betapa pentingnya hubungan baik antara Seoul dan Pyongyang dan antara Washington dan Pyongyang menjelang perundingan antara kedua buah Korea yang dijangka berlangsung lewat bulan ini.

Rundingan tersebut akan memberi tumpuan kepada hal ehwal ketenteraan, sukan dan pertemuan keluarga Korea yang terpisah di sepanjang sempadan sejak Perang Korea 1950-53 berakhir dengan gencatan senjata. – Xinhua