Moon pecat menteri kewangan, ketua dasar

SEOUL, 9 Nov – Presiden Korea Selatan Moon Jae-in hari ini memecat dua orang pegawai tertinggi ekonomi tatkala ekonomi ke-11 terbesar di dunia itu berdepan masalah pertumbuhan yang perlahan, peningkatan masalah pengangguran dan jurang pendapatan yang berterusan, menurut sumber kerajaan.

Menteri Kewangan Kim Dong-yeon dan ketua kakitangan presiden bagi dasar Jang Ha-sung telah pun digantikan, menurut jurucakap tertinggi Rumah Biru, Yoon Young-chan dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Kedua-dua pegawai tertinggi itu dilaporkan bertelagah antara satu sama lain bagaimana untuk menangani situasi yang dihadapi.

Imej antarabangsa Moon telah ditonjolkan oleh peranannya dalam usaha pemulihan diplomatik segera dengan Korea Utara, tetapi pengendaliannya terhadap ekonomi negaranya itu berdepan masalah kontroversi yang menyumbang kepada penurunan tinjauan jumlah undi.

Sementara itu, pentadbirannya telah meningkatkan gaji minimum Korea Selatan, mengurangkan tempoh waktu bekerja dan menjadikan kakitangan sementara menjadi kakitangan tetap dalam siri-siri langkah pembahagian semula yang menurutnya akan membawa kepada apa yang disifatkannya sebagai ‘pendapatan membawa kepada pertumbuhan.’

Ia adalah perubahan berkesan dari model pertumbuhan masa lalu, yang dijana oleh eksport dan pelaburan syarikat-syarikat besar Korea Selatan yang telah menyaksikan negara itu menjadi ekonomi keempat terbesar di Asia. – AFP