Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 8 Ogos – Bagi memberkati operasi kapal ‘Myy Camellia’ pada tahun ini bagi perkhidmatan pengecatan luar pantai, Syarikat Mashhor Offshore Painting Services Sdn Bhd (MOPS) yang merupakan anak syarikat milik Kumpulan Syarikat-syarikat Mashhor telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di kawasan Dermaga Kuala Belait di sini, hari ini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan Syarikat Mashhor, Malai Haji Hamir bin Haji Malai Mashhor dan beberapa orang pegawai Syarikat Mashhor serta Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd.
Malai Haji Hamir memberitahu, syarikat menjangkakan MOPS akan terus memberikan perkhidmatan cemerlang dengan kualiti tertinggi kepada BSP dan membuktikan keupayaannya bukan hanya boleh mencapai keperluan BSP tetapi melebihi piawaian yang telah dibentuk pada awal tahun perjanjian.
Beliau juga berkata, peranan dan signifikan MOPS ke atas kontrak ini sangat tinggi, sebagaimana ia bertujuan untuk melindungi integriti aset yang menyokong ekonomi negara.
Selain itu, beliau turut menekankan pentingnya bagi keselamatan semasa bekerja seperti yang sentiasa disarankan oleh BSP, ‘Kamu dan Aku Akan Pulang Dengan Selamat’.

Majlis tersebut diadakan untuk mendapatkan keberkatan Allah SWT bagi operasi pada tahun ini semoga sentiasa selamat dan berjaya. Majlis turut menyaksikan acara memotong kek bagi menandakan Kempen Pengecatan Luar Pantai MOPS tahun ini.
BSP telah menganugerahkan kontrak tersebut kepada MOPS, bermula Mac 2015 dan sebelum pembaharuan tempoh, MOPS sudah melaksanakan kontrak berkenaan sejak tahun 2007.
Dalam pada itu, baru-baru ini, MOPS telah mencapai satu lagi mercu tanda kejayaan melalui anugerah pencapaian 8.4 million man-hours without any Lost Time Incident, secara berterusan selama 11 tahun. MOPS telah banyak melatih anak-anak muda tempatan yang ingin membangunkan kerjaya mereka dalam pelbagai bidang seperti Scaffolders dan Blaster Painters.
Beberapa orang anak tempatan yang menyertai syarikat sebagai pelatih, pada masa ini telah memegang jawatan utama dalam kumpulan pengurusan di MOPS. Latihan dan pembangunan anak-anak tempatan merupakan proses berterusan syarikat, di mana MOPS komited bagi kemajuan lebih lanjut.