Morata julang Juventus raih tiga mata

MILAN, 7 MAC – Alvaro Morata menjaringkan dua gol tatkala Juventus mula memanaskan badan menjelang saingan Liga Juara-Juara berdepan Porto minggu depan dan kemenangan 3-1 ke atas Lazio merapatkan jurang mereka dengan pasukan Milan dalam kedudukan Serie A.

Cristiano Ronaldo diletakkan di bangku simpanan sebelum mereka berdepan saingan 16 akhir minggu depan dalam perlawanan kedua menentang wakil Portugal itu di Turin dengan aksi pertama Juventus mencatat kemenangan 2-1.

Juventus yang juga penyandang juara ketinggalan melalui gol awal Joaquin Correa selepas kesilapan yang dilakukan Dejan Kulusevski di bahagian tengah. Bagaimanapun, Morata berjaya melakukan hantaran kepada Adrien Rabiot yang melepaskan rembatan untuk gol penyamaan sebelum rehat. Selepas bersambung babak kedua Morata menambah dua gol dalam tempoh tiga minit untuk membolehkan Juventus mencatat kemenangan.

Pasukan bimbingan Andrea Pirlo sekarang ini di tempat ketiga, tujuh mata di belakang pendahulu Inter yang akan menanti kunjungan Atalanta awal pagi Selasa.

“Hari ini kami memulakan perlawanan 20 minit agak lambat tapi ia perkara biasa kerana ramai yang tidak berada di posisi sebenar dan baru pulih daripada kecederaan.

“Bagaimanapun, mereka berjaya memberi tindak balas dengan baik dan kami tidak hilang semangat walaupun ramai yang tidak dapat beraksi,” kata Pirlo. – AFP

Aksi Morata (tengah) menjaringkan gol ketiga pasukannya semasa perlawanan Serie A antara Juventus dan Lazio di Stadium Allianz Turin, Itali, awal pagi kelmarin. – AFP