Morata raih kemenangan untuk Juve meski tanpa CR7

KIEV, 21 OKT – Alvaro Morata menja-ringkan dua gol ketika Juventus yang beraksi tanpa Cristiano Ronaldo pada pembukaan kempen Liga Juara-Juara semalam dengan kemenangan 2-0 di Dynamo Kiev.

Penyerang Sepanyol itu membuka jaringan selepas rehat apabila melakukan rembatan yang melantun dan gol kedua pada minit ke-86 perlawanan untuk meletakkan Juventus di tempat kedua Kumpulan G di belakang Barcelona yang menewaskan pasukan dari Hungary, Ferencvaros 5-1.

Kapten Portugal, Ronaldo dan pemain tengah Amerika Syarikat, Weston McKennie masing-masing terlepas perjalanan ke Ukraine selepas positif COVID-19 manakala Alex Sandro dan Matthijs de Ligt turut diketepikan kerana mengalami kecederaan.

Andrea Pirlo, 41, memulakan saingan sulungnya sebagai jurulatih di peringkat Eropah dengan kemenangan berdepan jurulatih veteran Dynamo, Mircea Lucescu yang memberikan kemunculan pertama di Serie A sebagai pemain Brescia sekitar 25 tahun lalu.

“Satu demi satu. Adalah penting untuk bermain dengan bagus berbanding Sabtu lalu bertemu Crotone,” kata Pirlo mengenai keputusan seri 1-1 dalam liga itu.

“Kami berupaya mencuba sesuatu dalam latihan dan kami lebih tersusun hari ini.”

“Pendekatan yang saya berikan sejak dari awal adalah untuk mempunyai lebih ramai pemain yang membantu serangan,” tambahnya. – AFP

Reaksi penyerang Juventus, Alvaro Morata ketika meraikan kemenangan dengan rakan sepasukannya selepas perlawanan kumpulan G Liga Juara-Juara antara FC Dynamo Kiev dan Juventus di Stadium Olympiyskiy semalam. – AFP