Saturday, February 4, 2023
23.6 C
Brunei

-

Morata sertai Chelsea

LONDON, 20 Julai – Chelsea telah mencapai persetujuan untuk membeli penyerang antarabangsa Sepanyol Alvaro Morata dari Real Madrid dengan bayaran dilaporkan sebanyak 80 juta euro (AS$92.2 juta), kedua-dua kelab itu mengumumkan kelmarin.

“Kelab Bolasepak Chelsea dan Real Madrid bersetuju dengan perpindahan Morata ke Stamford Bridge. Bagaimanapun, perpindahan itu kini tertakluk kepada persetujuan beliau dengan terma peribadi serta ujian perubatan,” kata Chelsea di laman web kelab mereka.

Madrid mengesahkan berita itu juga dalam kenyataan ringkas di laman web mereka dengan berkata: “Kelab mengucapkan terima kasih atas dedikasi, profesionalisme dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh Morata selama bertahun-tahun sejak dari akademi hingga menjadi skuad pasukan pertama,” kata kenyataan itu.

Chelsea dilaporkan membuat tawaran 62 juta pound (AS$80 juta) untuk pemain berusia 24 tahun itu minggu lalu tetapi Madrid, menurut stesen radio Sepanyol Cadena Ser, telah bersetuju dengan 80 juta euro.

Morata dijangka meninggalkan kem latihan Madrid di AS secepat mungkin. Media Britain minggu lalu melaporkan Chelsea telah menawarkan kontrak lima tahun di Stamford Bridge bernilai 150,000 pound seminggu.

Real Madrid bersetuju melepaskan Morata (tengah) kepada Chelsea dengan bayaran perpindahan dilaporkan sebanyak 80 juta euro. – AP
Real Madrid bersetuju melepaskan Morata (tengah) kepada Chelsea dengan bayaran perpindahan dilaporkan sebanyak 80 juta euro. – AP

Real membeli balik klausa untuk membawa Morata kembali dari Juventus setahun lalu setelah menyertai kelab itu pada 2014 beberapa hari selepas Antonio Conte keluar dari Turin.

Dia menjaringkan 20 gol dalam 43 penampilan musim lepas ketika Real mengekalkan mahkota Liga Juara-juara dan menundukkan Barcelona untuk kejuaraan Sepanyol.

Morata sebelum ini telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United tetapi minat mereka dilaporkan padam selepas menandatangani Romelu Lukaku dari Everton.

Sementara itu, Mourinho menolak pertanyaan mengenai bekas kelab Chelsea yang cuba menyambar Alvaro Morata dari Real Madrid awal pagi tadi, dengan menyatakan dia gembira dengan pengambilan Romelu Lukaku minggu lalu.

Menurut The Guardian pada April, Conte yang memainkan peranan untuk memujuknya untuk menyertai Juve, telah memberikannya keyakinan dan dia tidak sabar-sabar untuk bekerja dengan pengurus itu satu hari nanti.

“Saya terhutang budi kepadanya kerana dia jurulatih yang paling saya percayai dan membuatkan saya yakin beraksi pada peringkat tertinggi,” kata Morata kepada akhbar itu.

Ketibaan Morata di London dapat menandakan masa rakan sepasukannya Diego Costa di Chelsea berakhir selepas diwar-warkan kembali ke Atletico Madrid.

Costa diberi masa tambahan oleh Blues dan telah terlepas latihan pra-musim selepas pemain berusia 28 tahun itu pada Jun mendedahkan dia bukan sebahagian daripada rancangan Conte.

Penyerang Sepanyol kelahiran Brazil itu berminat untuk menyertai semula Atletico meskipun mereka tidak dibenarkan mendaftarkan pemain baru sehingga Januari kerana larangan FIFA. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Bekas Menteri dijatuhi hukuman penjara 2 tahun

SEOUL, KOREA SELATAN, 3 FEB - Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada bekas Menteri Kehakiman, Cho Kuk, selepas dia...
- Advertisment -