Morbidelli mampu juarai MotoGP 2021

KUALA LUMPUR, 20 JAN – Prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali optimis pelumba pasukan berkenaan, Franco Morbidelli mampu mengungguli Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.

Katanya sasaran tersebut mampu dicapai pelumba kelahiran Itali itu yang mempamerkan kebangkitan mendadak dengan meraih kedudukan kedua keseluruhan pada musim lalu dengan kutipan 158 mata daripada 14 perlumbaan walaupun bergelut meraih kedudukan podium dalam beberapa pusingan awal perlumbaan.

“Pada awal tahun lepas, dia (Morbidelli) tak nampak konsisten disebabkan jentera yang bermasalah dan dia mengalami kemalangan pada perlumbaan di  Austria yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi dia.

“Tapi dia lebih konsisten berbanding prestasi pelumba lain dan sebab itu, beliau mampu menduduki tangga kedua (keseluruhan pada musim lepas) dan jika dia tidak berdepan masalah teknikal (pada musim ini), dia boleh jadi juara dunia,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Razlan percaya Morbidelli bakal ditawarkan kontrak menyertai pasukan pengilang seperti Ducati dan Honda pada 2022 sekiranya pelumba berkenaan muncul juara dunia MotoGP pada musim ini. – Bernama