Moriyasu optimis meski Jepun tersingkir

BELO HORIZONTE, 25 JUN – Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu berkata pasukannya pastinya mempelajari sesuatu daripada kekecewaan kempen Copa Amerika mereka setelah terlepas tempat ke suku akhir susulan keputusan seri 1-1 dengan Ecuador.

Shoya Nakajima memberikan Samurai Biru pendahuluan seawal minit ke-15 di Belo Horizonte, sementara pemain gantian Daizen Maeda terlepas peluang keemasan untuk meraih kemenangan apabila dalam satuasi satu-lawan-satu dengan penjaga gol Alexander Dominguez.

Jaringan penyamaan pada minit ke-35 dan potensi gol kemenangan Takefusa Kubo pada masa kecederaan yang dibatalkan oleh VAR bermakna Jepun tersingkir keluar.

“Mereka sedang belajar untuk bersaing dengan lawan-lawan peringkat tertinggi,” kata Moriyasu, yang membawa sebahagian besar skuadnya berusia bawah 23 tahun ke Brazil selepas beberapa buah kelab menolak untuk melepaskan pemain-pemain utama mereka.

“Para pemain perlu belajar sebanyak mungkin, dengan sikap yang betul, menghormati lawan dan memahami bahawa mereka boleh mengembangkan bola sepak kami.”

Skuad ini sekurang-kurangnya akan membentuk asas bagi pasukan bawah 23 tahun, yang bakal bersaing pada Olimpik Tokyo tahun depan.

Tetapi ia adalah penyingkiran yang kurang menyenangkan buat dua pasukan jemputan Asia dalam kejohanan Amerika Selatan itu.

Juara Asia, Qatar, menamatkan di kedudukan tercorot Kumpulan B dengan hanya meraih satu mata daripada tiga perlawanan, sementara pasukan yang mereka tewaskan di final kejohanan benua di Emiriah Arab Bersatu, gagal lagi untuk memenangi sebarang perlawanan dalam penyertaan keduanya di Copa Amerika. – AFP

Moriyasu ketika memberikan tanda bagus kepada pasukannya semasa menentang Ecuador di Stadium Mineirao, Brazil. – AP