Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Morten Frost letak jawatan

    KUALA LUMPUR, 18 Sept – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima perletakan jawatan Pengarah Teknikalnya, Morten Frost Hansen berkuat kuasa hari ini selepas mendapat satu kata sepakat daripada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T).

    Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya menerima surat perletakan jawatan bernotis enam bulan daripada Frost pada 11 Sept lepas dengan menyatakan alasan masalah peribadi.

    “BAM akan berjumpa dan berbincang dengannya esok untuk memastikan ia berakhir dalam keadaan yang baik tanpa sebarang salah faham. Kita harap beliau terus maju dengan apa yang akan dilakukan selepas ini dan kita berterima kasih atas hasil kerjanya sepanjang bersama BAM.

    “Beliau letak jawatan atas pilihannya sendiri, tiada tekanan daripada pihak BAM jadi kita pun kena teruskan perjuangan kita. Buat masa sekarang BAM tidak mempunyai perancangan untuk menggantikan Frost,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat C&T, hari ini.

    Ekoran peletakan jawatan Frost, 59, yang dikenali sebagai ‘Mr Badminton’ itu, tugasnya akan diteruskan oleh ketua-ketua jurulatih iaitu Datuk Misbun Sidek (perseorangan lelaki), Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Tey Seu Bock (perseorangan wanita), Wong Pei Ty (beregu wanita) and Chin Eei Hui (beregu campuran) dan dibantu oleh C&T.

    Norza menolak dakwaan bahawa peletakan jawatan Frost itu adalah ekoran prestasi tidak memberangsangkan skuad negara pada Piala Sudirman yang berakhir di pusingan suku akhir apabila tewas kepada Jepun 1-3 pada Jun lepas serta pencapaian Sukan SEA ke-29 yang dikatakan tidak mencapai sasaran walaupun meraih dua pingat emas seperti diumumkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda