Sunday, January 26, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Moscow akan bertindak jika Bosnia sertai NATO

    BELGRADE, SERBIA, 18 MAC – Bosnia dan Herzegovina mempunyai hak untuk memilih sama ada mahu menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atau sebaliknya, tetapi Moscow berhak bertindak berdasarkan kepentingan negaranya, lapor agensi Anadolu, memetik perwakilan Rusia.

    “Jika Bosnia dan Herzegovina memutuskan untuk menjadi ahli sebarang pertubuhan, ia adalah perkara dalaman. Tetapi terdapat perkara lain boleh mencetuskan reaksi kami.

    “Dalam isu Ukraine, kami bertindak balas terhadap ancaman,” kata Duta Rusia ke Bosnia dan Herzegovina, Igor Kalabukhov kepada Persekutuan Televisyen Bosnia dan Herzegovina, kelmarin.

    Kalabukhov berkata rakyat Bosnia tidak perlu bimbang dengan Rusia.

    Beliau percaya keselamatan di Bosnia terjamin jika situasi politik berkembang menerusi dialog, tanpa sebarang tindakan radikal.

    Ahli Majlis Presiden Bosnia dan Herzegovina, Sefik Dzaferovic menyifatkan kenyataan Kalabukhov sebagai “serangan ke atas integriti wilayah Bosnia dan Herzegovina.”

    “Bosnia dan Herzegovina ialah sebuah negara berdaulat ia berhak membuat keputusan sendiri mengenai masa depannya berdasarkan rangka kerja Perlembagaan dan undang-undang dan bertindak atas permintaan serta kepentingan rakyatnya. Kami tidak akan menurut kemahuan pihak lain dan Rusia tidak ada hak untuk memastikan masa depan Bosnia,” kata Dzaferovic.

    Dzaferovic sebelum ini berkata, Bosnia dan Herzegovina akan lebih selamat dan dilindungi jika menjadi sebahagian ahli Kesatuan Eropah dan NATO. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda