Moscow batal lockdown 9 Jun

MOSCOW, 8 JUN – Datuk bandar Moscow Sergei Sobyanin mengumumkan hari ini berakhirnya lockdown antikoronavirus ketat yang dikenakan di ibu negara Rusia selama beberapa minggu.

Mulai esok, ‘pengasingan diri dan sistem pas akan dibatalkan’ di bandar itu,” kata beliau dalam mesej video di Facebook, menambah ‘Moscow akan kembali menjalani kehidupan biasa.’

Moscow, bandar terbesar di Rusia dengan 12 juta penduduk, dikenakan lockdown pada akhir Mac untuk membendung penularan koronavirus.

Ibu negara itu masih menjadi pusat pandemik di Rusia dengan kira-kira separuh daripada 476,658 jangkitan virus di negara.

Pegawai-pegawai bandar telah memperkenalkan sistem permit ketat untuk membenarkan penduduk Moscow akses kepada pengangkutan awam dan teksi untuk kerja dan aktiviti penting.

Penduduk berjalan di Dataran Merah di pusat bandar Moscow. Datuk bandar Sergei Sobyanin mengumumkan berakhirnya lockdown koronavirus kelmarin di ibu negara Rusia. – AFP

“Semua sekatan, tertakluk kepada pematuhan keselamatan epidemiologi dan mengambil faktor langkah kebersihan, akan dibatalkan pada Jun,” kata datuk bandar hari ini.

Penduduk Moscow termasuk warga emas dan mereka yang menghidapi penyakit kronik akan dibenarkan meninggalkan rumah mereka mulai esok, tambah Sobyanin.

Pendandan rambut, salun kecantikan dan pusat haiwan juga dibenarkan dibuka semula esok.

Perpustakaan, pejabat harta tanah dan syarikat yang menyediakan perkhidmatan kepada penduduk dibenarkan meneruskan kerja mereka mulai minggu depan, kata beliau.

Sobyanin berkata restoran dan kafe akan dibuka dalam dua peringkat bermula 16 Jun dengan penduduk Moscow dibenarkan mengunjungi teres, dengan pelonggaran sekatan lanjut pada minggu berikutnya.

Meskipun pelan untuk membatalkan kuarantin bandar, datuk bandar menggesa sikap berjaga-jaga terus diamalkan, berkata ‘jangkitan koronavirus kemungkinan telah berkurangan, namun masih wujud.’

“Kami mesti sentiasa mengawasi situasi dan menghalang wabak baharu,” kata beliau. – AFP