MOSCOW – Protes-protes terhadap bau busuk dari tapak pelupusan sekitar Moscow, dengan limpahan berjuta-juta tan sampah, telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pihak berkuasa kini telah memutuskan rancangan untuk menangani masalah ini, menjana tenaga dengan membakar sisa tersebut. Tetapi tindakan mereka itu juga telah mencetuskan kebimbangan awam terhadap pencemaran.
Rusia menghasilkan hampir 70 juta tan sampah setiap tahun, menurut anggaran Greenpeace. Pengisihan atau pembahagian sampah hanya mengambil tempat di sekitar 100 daripada 4,000 bandar dan bandar raya di negara itu dan kebanyakan sisa sampah itu telah bertimbun tinggi sejak beberapa dekad lalu.
“Rusia nampaknya memenuhi ramalan bahawa manusia akan mati akibat tercekik oleh sampah mereka sendiri,” kata Alexei Kiselyov dari Greenpeace Rusia.
Jumlah sampah yang dibuang oleh penduduk Rusia telah meningkat 30 peratus dalam dekad yang lalu, kata Greenpeace. Dua peratus daripadanya telah dibakar, tujuh peratusnya dikitar semula dan selebihnya dibuang di tempat pembuangan sampah.


Di sekitar Moscow, 24 tapak pelupusan sampah telah ditutup sejak lima tahun lalu kerana ianya sudah ketinggalan zaman dan berbahaya, menurut pihak berkuasa serantau. Sementara baki 15 lainnya, di mana longgokan sampah menggunung tinggi terdedah seluasnya, masih mengisi sampah yang tidak diatur.
“Kebanyakannya telah dibina pada 50 tahun yang lalu tanpa adanya teknologi untuk merawat gas dan air tercemar” yang muncul dari sisa itu, menurut perkhidmatan media kementerian ekologi serantau.
Masalah awal muncul pada pandangan orang awam adalah pada bulan Jun tahun lalu apabila penduduk Balashikha, sebuah bandar yang terletak enam kilometer di barat sempadan bandar Moscow, telah mengadu bau busuk dari hujung kawasan itu. Ianya telah sampai ke pengetahuan Presiden Vladimir Putin dalam siaran televisyen dan meminta agar ianya ditutup.
Tapak pelupusan itu kemudian ditutup, namun tidak lama kemudian ia muncul semula dan mencipta masalah yang sama.
Pada akhir bulan Mac, kira-kira 50 kanak-kanak menerima rawatan perubatan di Volokolamsk, sebuah bandar di barat laut Moscow, selepas menghidu gas yang dikeluarkan dari tapak pelupusan tersebut.
Beribu-ribu penduduk kemudian membantah, menyeru agar penutupan tapak tersebut. Rusia telah beralih ke Belanda dalam penyediaan teknologi bagi meneutralkan wasap beracun. Ini kerana kurangnya peralatan buatan tempatan yang berkesan.
“Perkara terburuk adalah tiada siapa yang memberi perhatian kepada masalah itu sehingga terdapat kebocoran gas atau pelepasan air tercemar atau kebakaran di tapak pelupusan,” kata Kiselyov.
Dengan menghadapi bencana alam yang semakin meruncing, kerajaan Rusia telah menyokong sebuah projek bagi pembinaan lima buah loji sisa-tenaga yang akan membakar sampah dan menjana elektrik.
Dua loji pertama, masing-masing mampu membakar 700,000 tan sampah setiap tahun dan masing-masing boleh menghasilkan 70 megawatt elektrik, yang mana akan dibina pada tahun 2021 di rantau Moscow.


“Matlamatnya adalah untuk mengakhiri penyimpanan sampah di tempat pembuangan sampah,” kata pengarah syarikat RT-Invest, Andrei Shipelov, yang sedang membangunkan projek tersebut.
Usaha untuk membina loji tersebut dijangka bermula dalam waktu terdekat, tetapi penduduk setempat terus meningkatkan protes mereka, bimbang terhadap kerosakan alam sekitar.
“Kami mahu loji itu mengitar semula, bukan membakarnya,” kata Marina Melnikova, seorang penduduk di Naro-Fominsk dan menambah dia bimbang bahawa sebarang dioksin karsinogenik dalam pelepasan loji tersebut akan dapat menjejaskan alam sekitar.
Beliau adalah antara 4,000 penduduk yang mendatangani petisyen menentang rancangan itu dan kemudian diserahkan kepada Putin.
“Memang benar kita perlu menyelesaikan masalah sampah. Tetapi kenapa bermula dengan sesuatu yang memudaratkan? Bagaimana dengan kitar semula dan penyisihan?” tanya aktivis parti Komunis, Igor Vavilov.
Pada bulan April lalu, protes di beberapa bandar di rantau itu telah menyeru kepada penutupan tapak pelupusan sampah itu. Beberapa ribu penunjuk perasaan juga membantah pembinaan pembakar sisa-kuasa dan mengatakan bahawa pembahagian dan kitar semula harus menjadi keutamaan.
Pengarah projek Shipelov telah menolak kritikan itu, mengatakan bahawa loji itu perlu menggunakan ‘teknologi paling canggih’ yang dibangunkan oleh firma Swiss-Jepun, Hitachi Zosen Inova, yang telah membina 500 kemudahan serupa di negara-negara yang berbeza.
“Loji ini sememangnya tidak berbahaya. Tiada dioksin atau unsur-unsur berbahaya lain yang akan dikeluarkan dari loji tersebut,” kata Shipelov.
“Suhu tinggi sebanyak 1,260 darjah Celsius bermakna bahawa dioksin yang paling berbahaya akan dimusnahkan di dalam reaktor,” katanya.
Ahli alam sekitar turut mempersoalkan sama ada pembakaran adalah suatu penyelesaian yang terbaik.
“Apa gunanya mencipta satu sumber baharu yang menyebabkan pencemaran di mana kita dapat menyelesaikan masalah ini dengan menubuhkan loji kitar semula?” kata Kiselyov, dari Greenpeace. – AFP