Moshiri komited terhadap Everton

LONDON, 11 Sept – Pemegang saham terbesar Everton, Farhad Moshiri meningkatkan pegangannya dalam kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah mengumumkan memperoleh saham terbesar kelab itu, hari ini.

Moshiri membeli saham Everton sebanyak 18.7 peratus menerusi Blue Heaven Holdings Ltd.

Ahli perniagaan Iran itu sebelum ini sudah pun memiliki 49.9 saham Everton, selepas menjual sahamnya di Arsenal untuk mengambil alih Goodison Park pada Februari 2016.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Forbes, Moshiri, dikatakan memiliki kekayaan dianggarkan bernilai AS$1.7 bilion, kini menguasai pegangan Everton dengan jumlah keseluruhan sebanyak 68.6 peratus.

Dia dijangka meningkatkan pegangannya kepada 77.2 peratus pada Julai tahun depan.

“Kelab bola sepak Everton hari ini mengumumkan bahawa pemegang saham terbesar, Farhad Moshiri meneruskan komitmen dengan meningkatkan pegangannya dalam kelab,” menurut kenyataan kelab itu.

“Farhad Moshiri sebelum ini telah memiliki 49.9 peratus pegangan dalam kelab dan sejajar dengan persetujuan yang dibuat berdasarkan pelaburan asal, dia menambah 18.7 peratus saham melalui Blue Heaven Holdings Ltd., memberikan jumlah keseluruhan pegangan sebanyak 68.6 peratus, yang dijangka meningkat kepada 77.2 peratus menjelang Julai tahun depan.” – AFP