Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mosul berdepan krisis air

    SAYRAMUN, Iraq, 12 Mei – Walaupun utara Iraq telah berjaya ditawan semula daripada penguasaan IS pada bulan Februari tetapi perkampungan Sayramun kekal terpencil seperti biasa dan masih tidak mempunyai bekalan air minuman.

    “Tidak ada air di kawasan ini,” kata Ahmed Fathi, seorang penduduk kampung yang terletak di tepi Sungai Tigris yang berliku-liku dan menjadi kawasan pertempuran tentera di pinggir bandar Mosul.

    Loji rawatan air terdekat tidak berfungsi sejak beberapa bulan dan sekatan ke atas pergerakan orang awam di kawasan yang digunakan oleh puluhan konvoi tentera setiap hari bermakna kenderaan persendirian diharamkan di Sayramun.

    “Jadi di sungai inilah anak-anak kami mengambil air… dan air sungai ini tidak berapa sesuai untuk kegunaan manusia,” kata Fathi.

    Ruqaya yang memakai pakaian oren cerah berjalan ke bawah bukit bersama gelen plastik kotor untuk mengambil air dari sungai. Gadis berusia lima tahun itu terpaksa memikul tugas tersebut kerana bapanya sakit.

    Loji perawatan air di Hamam al-Alil, pinggir Mosul yang dimusnahkan oleh pejuang IS dalam gambar yang diambil pada 1 April lalu. – AFP
    Loji perawatan air di Hamam al-Alil, pinggir Mosul yang dimusnahkan oleh pejuang IS dalam gambar yang diambil pada 1 April lalu. – AFP

    Dia berhenti seketika di tepi jalan ketika konvoi kenderaan Iraq melimpas dan kemudian menyambung semula tugas hariannya ke sungai Tigris ketika helikopter berlegar-legar di udara.

    Bekalan elektrik juga belum pulih di Sayramun dan loji rawatan air tempatan masih belum berfungsi sehingga memaksa penduduk memasak air sungai untuk diminum.

    “Bagaimana nak menjerang air? Sehingga kini, kami masih menggunakan kayu api dan pemanas kecil minyak tanah. Kami juga tidak mempunyai gas. Ada beberapa kes begitu teruk tetapi tiada kematian disebabkan keracunan air,” kata Fathi.

    “Tiada siapa tahu tentang kami di kampung ini. Kami hanya mahu loji rawatan air diperbaiki,” kata Thannun Yunis, seorang budak lelaki berusia 14 tahun dari Sayramun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda