Motivasi untuk pengusaha PKS

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Dalam usaha untuk menambah ilmu keusahawanan terutama selepas impak pandemik COVID-19 yang sudah semestinya memberi banyak kesan kepada para pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta amatur, Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) telah mengadakan ceramah motivasi yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPMB, Beribi, kelmarin.

Seramai 25 orang ahli PPPMB hadir pada acara tersebut yang diisikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Mejar (B) Rusli bin Haji Bujang dari Empowerior Consultancy yang antara lain menyentuh mengenai memberikan jalan dan menyampaikan ilmu kemanusiaan iaitu tingkah laku manusia dalam kehidupan berniaga.

Di samping itu, ceramah juga menyentuh mengenai budaya berniaga sebagai suatu keperluan fisiologi kehidupan seorang peniaga dan sebagainya.

Diharapkan dengan penganjuran ceramah motivasi seumpama itu akan dapat memberikan ruang kepada para ahli untuk berkomunikasi masalah-masalah perniagaan dan bagaimana menanganinya dalam aspek kehidupan dan tingkah laku manusia secara amnya.

Mejar (B) Rusli semasa menyampaikan ceramah motivasinya.