Motivasikan pelajar BMA

Oleh Daniel Lim
Gambar oleh IBTE JBC

BELAIT, 7 NOV – Seramai 24 orang pelajar Rating Enjin dan Rating Dek daripada Akademi Maritim Brunei (BMA) di bawah Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) telah menghadiri taklimat bertajuk ‘Meningkatkan Semangat Kerja Dari Prinsip Islam’ yang diadakan di kampus berkenaan, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Sekolah BMA, Awang Mohammad Iskandar bin Haji Jani yang turut mengalu-alukan penceramah jemputan dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr Andas Haji Ismuhadi bin Haji
Abdullah.

Taklimat diadakan untuk membantu para pelajar rating bekerjasama secara positif di tempat kerja mereka pada masa hadapan serta membantu meningkatkan kesedaran mengenai cara menyelesaikan konflik di tempat kerja dengan baik dan meningkatkan motivasi mereka.

Sehubungan itu, taklimat selama dua jam itu menyentuh mengenai pelbagai topik dan maklumat yang diperlukan pada peserta bagi memastikan keselamatan dan kecepatan pergerakan kerja serta untuk menggalakkan mereka menetapkan niat sebelum memulakan seberang pekerjaan.

Dr Andas Haji Ismuhadi dijemput bagi menyampaikan taklimat pada majlis tersebut.
Antara yang hadir mendengarkan taklimat bertajuk ‘Meningkatkan Semangat Kerja Dari Prinsip Islam’ di IBTE JBC.