MotoGP British, Australia dibatalkan

LONDON, 29 MEI – Perlumbaan MotoGP British dan Australia dibatalkan hari ini dengan koronavirus terus menjejaskan perlumbaan kereta antarabangsa.

Perlumbaan British di Silverstone dijadualkan pada 28 hingga 30 Ogos, sementara Grand Prix Australia di Phillip Island dijangka berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober. “Kami berasa dukacita untuk mengumumkan pembatalan acara ikonik berkenaan,” kata Carmelo Ezpeleta, CEO promoter MotoGP Dorna Sports, dalam satu kenyataan.

Penganjur gagal mencari ‘jalan penyelesaian mengenai isu logistik dan operasi akibat pandemik dan kalendar yang dijadual semula,” kata Ezpeleta.

Pengarah urusan Silverstone Stuart Pringle berkata ‘beliau berasa amat kecewa mengenai pembatalan MotoGP British, tetapi kami menyokong keputusan yang perlu diambil pada masa luar biasa ini.”

Paul Little, pengerusi Australia Grand Prix Corporation, juga meluahkan rasa kecewa tetapi menyokong keputusan untuk membatalkan perlumbaan.

“Kami berasa amat kecewa peminat MotoGP di seluruh Victoria, Australia dan di dunia tidak berpeluang melihat pelumba terbaik di dunia bertanding di salah satu litar terbaik di dunia, tetapi keputusan yang betul telah dibuat,” kata Little. – AFP