SEPANG, 10 NOV – Selepas muncul tempat kedua terbaik dalam sesi Latihan Bebas 1 (FP1) pelumba MotoGP Gresini Racing, Alex Marquez memperbaiki catatan masanya dengan merekodkan masa terpantas dalam sesi latihan petang di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Marquez mencatat masa satu minit 57.823 saat (s) untuk merampas tempat teratas daripada pelumba terpantas dalam FP1, Jorge Martin daripada Prima Pramac Racing yang merekodkan 1:57.997s.
Walaupun tidak dapat mempertahankan kedudukan teratas, Martin yang sebelum ini mendahului dengan catatan 1:59.513s dalam FP1 awal hari ini tetap gembira kerana dapat memperbaiki catatan masanya pada sesi petang.
“Ia satu sesi yang kompetitif dan saya gembira untuk merekodkan catatan masa yang baik dalam latihan sesi petang,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas selesai sesi latihan petang.
Pada masa sama, Jack Miller daripada Red Bull KTM Factory Racing merekodkan masa 1:58.232s untuk tempat pelumba ketiga terpantas dalam sesi latihan petang.
Dalam aksi Moto2, pelumba Jepun, Ai Ogura daripada IDEMITSU Honda Team Asia mempamerkan prestasi yang membanggakan dalam latihan kedua dengan mendahului pelumba-pelumba lain dengan catatan masa 2:06.093s.
Pelumba Sepanyol, Aron Canet daripada Pons Wegow Los40 di tempat kedua dengan masa 2:06.193s sementara Jake Dixon daripada GASGAS Aspar Team di tempat ketiga dengan masa 2:06.246s.
Dua pelumba peluang khas tempatan mewakili Petronas MIE Racing RW, Azroy Anuar dan Helmi Azman gagal memperbaiki kedudukan masing-masing dan kedua-duanya kekal di kedudukan dua terakhir. – Bernama