MotoGP: Marquez azam lebar penguasaan

MONTMELO, SEPANYOL, 14 JUN – Penunggang Sepanyol, Marc Marquez akan cuba menamatkan kemarau pada Grand Prix Catalan Ahad ini dan melebarkan penguasaannya dalam kejuaraan dunia dengan menang di laman sendiri pada ulang tahun ke-70 MotoGP.

Marquez tewas di tangan penunggang Ducati, Danilo Petrucci pada pusingan sebelum ini dekat Mugello awal bulan ini tapi masih berjaya melebarkan kelebihannya di kedudukan teratas.

Penunggang Honda itu kini 12 mata di depan penunggang Ducati, Andrea Dovizioso, 27 mata di depan wakil Suzuki, Alex Rins dan 33 di atas Petrucci.

Bagaimanapun, dia yang dilahirkan di Cervera dekat tengah Catalonia, hanya menang sekali pada saingan di laman sendiri pada MotoGP 2014.

“Akan sentiasa ada sedikit keseronokan apabila Grand Prix pulang ke sini,” kata Marquez, juara dunia MotoGP lima kali sejak 2013.

Aksi Marc Marquez menunggang motosikal semasa sesi latihan pertama Catalunya MotoGP Grand Prix di litar perlumbaan Catalunya di Montmelo, Barcelona, kelmarin. – AFP

“Jentera dan saya berada pada tahap terbaik, saya boleh berehat sejak perlumbaan terakhir dan saya kembali dengan tenaga penuh.”

Bukan Marquez saja mahu menggunakan kelebihan di laman sendiri.

Maverick Vinales (Yamaha) juga berasal dari Catalonia dan Rins dari Barcelona, manakala adik beradik, Pol dan Aleix Espargaro (KTM dan Aprilia) dilahirkan di Granollers, berhampiran litar Montmelo.

Mereka akan bersaing dengan kontinjen Itali bersama Ducati, yang merakam kemenangan di sana sejak dua tahun lalu selain penunggang Yamaha, Valentino Rossi yang menang pada 2017. – AFP