Wednesday, November 6, 2024
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Motosikal memotong kenderaan punca tiga maut di Felda Sahabat

    LAHAD DATU, 7 OKT – Kemalangan mengorbankan tiga individu termasuk kanak-kanak di Jalan Felda Sahabat 6 Cenderawasih, Tungku, semalam dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang seorang lelaki dikatakan memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang warganegara Indonesia berusia 55 tahun itu yang menuju kearah Felda Sahabat, bertembung dengan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 62 tahun bersama tiga penumpang termasuk seorang kanak-kanak, yang dalam perjalanan ke arah Lahad Datu.

    “Kejadian 6:05 petang itu, menyebabkan pemandu kereta hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun bersama lima penumpang lain, yang sedang menuju ke arah Felda Sahabat.

    “Penunggang motosikal serta seorang penumpang wanita kereta sedan itu meninggal dunia di lokasi kejadian, pemandu dan dua penumpang kereta itu termasuk seorang kanak-kanak cedera parah dibawa ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan, namun kanak-kanak itu kemudiannya meninggal dunia,” katanya hari ini.

    Dzulbaharin berkata pemandu dan lima penumpang pacuan empat roda itu pula, tidak mengalami kecederaan serius dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tungku.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda