RIO DE JANEIRO, 7 Ogos – Pemain tengah antarabangsa Paraguay Robert Piris Da Motta membuat tekad untuk berkorban bagi skuad baharunya ketika dia bersedia membuat kemunculan bagi kelab gergasi Brazil, Flamengo.
Pemain berusia 24 tahun itu, secara rasminya didedahkan kepada peminat dan pemberita semalam, lima hari selepas pengesahan perpindahannya bernilai 2.5 jura euro dari kelab San Lorenzo, Argentina.
“Saya adalah seorang pemain yang memiliki keazaman dan kesanggupan untuk berkorban bagi pasukan, kelab dan peminat saya. Saya akan memberikan segala-galanya yang boleh dan berjuang untuk menang setiap perlawanan,” katanya kepada para pemberita.
Da Motta, yang membuat kemunculan sebanyak lima kali buat skuad kebangsaan Paraguay, dijangka muncul bagi pasukan Flamengo menentang Cruzeiro dalam Piala Libertadores di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, esok.
Dia berkata, dia tidak sabar untuk mengenakan jersi Flamengo buat pertama kali dalam perlawanan sengit nanti.
“Flamengo adalah sebuah kelab terbesar di Brazil dan ia adalah satu penghormatan untuk berada di sini. Saya menghargai kepercayaan orang ramai terhadap saya dan berharap dapat membayarnya semula,” katanya.
Flamengo kini berada di tangga kedua dalam Siri A 20 pasukan di Brazil bersama 34 mata daripada 17 perlawanan.
Mereka adalah antara enam pasukan dalam 16 terakhir di Piala Libertadores, iaitu kejohanan kelab bola sepak terbesar di Amerika Selatan. – Xinhua