Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Kementerian Kesihatan baru-baru ini telah memeterai satu memorandum persefahaman tiga pihak, dengan pihak JPMC dan Far Eastern University, Republik Filipina bagi penubuhan sekolah kejururawatan swasta di Negara Brunei Darussalam yang dihasratkan akan dapat meningkatkan jumlah jururawat yang sangat diperlukan pada masa ini.
Langkah tersebut bukan sahaja sebagai usaha Negara Brunei Darussalam dalam memastikan kawalan dan pemantauan situasi wabak COVID-19 akan terus dijalankan dengan menggunakan pendekatan whole of nation malahan ia juga untuk mengekalkan kesinambungan perkhidmatan-perkhidmatan penting yang lain bagi pesakit-pesakit yang memerlukan.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Al’-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Ini termasuklah perkhidmatan-perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan asasi termasuk perkhidmatan kesihatan kanak-kanak dan ibu-ibu mengandung, pemantauan risiko dan rawatan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti pengawalan dan rawatan diabetes, pemeriksaan tekanan darah dan tahap kolesterol di pusat-pusat kesihatan dan juga perkhidmatan kecemasan termasuk yang memerlukan rawatan pembedahan segera, terus diberi perhatian di samping menumpukan keutamaan kepada pengawalan wabak,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa tidak dapat dinafikan kejadian wabak berkenaan telah memberi cabaran kepada kapasiti sistem kesihatan negara.
Walau bagaimanapun, berkat kerjasama daripada semua pihak dan kefahaman orang ramai melalui perhubungan awam dan komunikasi berkesan, Kementerian Kesihatan tetap dapat memberikan perkhidmatan-perkhidmatannya.
Walaupun tidak semestinya melalui kaedah biasa, tetapi COVID-19telah membuka laluan bagi model penyampaian perkhidmatan yang lebih inovatif dan mudah seperti telekonsultasi, penyatupaduan perkhidmatan-perkhidmatan, pengenalan perkhidmatan baharu dalam talian serta pengurusan pesakit seperti akses kepada keputusan ujian makmal melalui rekod perubatan digital dan membuat tempahan bagi perkhidmatan-perkhidmatan tertentu seperti vaksinasi.
Yang Berhormat Dato dalam ucapannya lagi berkata, hikmah di sebalik kejadian COVID-19 telah mencetuskan fenomena yang positif dalam penggunaan media sosial dan infokomunikasi serta yang paling memberangsangkan ialah perkembangan teknologi yang disemarakkan oleh kejadian itu.
Kejadian COVID-19 merupakan pemangkin kepada penerimaan masyarakat terhadap penggunaan teknologi dan membuka peluang bagi negara melangkah lebih jauh dalam era digital dalam masa yang singkat dan lebih cepat daripada yang dijangkakan selama ini.
“Peluang ini tidak harus dilepaskan lebih-lebih lagi jika ia membawa kepada perubahan positif dan sememangnya telah menjadi sasaran kita dalam mencapai wawasan negara.
“Perlu juga difikirkan akan faedah yang mungkin diperoleh daripada pelaburan teknologi ini di mana ia bukan sahaja akan mendatangkan kebaikan kepada sektor kesihatan semata-mata, malah juga memberi keuntungan kepada sektor-sektor lain termasuk membuka peluang-peluang pekerjaan, pelabur asing, peningkatan tenaga profesional, penubuhan institusi-institusi formal, perindustrian dan sebagainya, Insya-Allah,” tambah beliau.
Di samping itu, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa beberapa inisiatif yang telah dan sedang dijalankan pada masa ini, memang kebanyakannya adalah respons kepada situasi wabak COVID-19.
Walau bagaimanapun, jelasnya lagi, ia tidaklah jauh tersimpang daripada apa yang telah dirancang di bawah Pelan Strategik Kementerian Kesihatan yang telah disejajarkan dengan Wawasan Brunei 2035.
Beliau berkata bahawa beberapa inisiatif di bawah Pelan Strategik Kementerian Kesihatan telah dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang dirancang yang mana antara lain yang signifikan ialah penambahbaikan perkhidmatan klinikal seperti penambahan unit dialisis bagi pesakit buah pinggang yang diusahakan bersama dengan pihak Jerudong Park Medical Centre (JPMC), pemindahan Pusat Panggilan 991 ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, penambahan jumlah kenderaan ambulans dan pembinaan Makmal Klinikal Diagnostik Molekular bagi Penyakit Berjangkit (NMRL) di Bukit Bendera, Daerah Tutong yang masih menjalani pengiktirafan bagi Biosafety Level 3 yang mendokong kepada Matlamat Strategik Kementerian Kesihatan, ke arah kecemerlangan makmal klinikal dalam mendokong kesihatan dan keselamatan awam.
Keupayaan negara menjalankan ujian genomic sequencing dalam mengenal pasti varian COVID-19, jelas Yang Berhormat Dato, adalah salah satu lagi pencapaian terkini yang telahpun direalisasikan melalui kerjasama dengan pihak sektor swasta yang bukan sahaja menyumbang kepada penambahan nilai kepada perkhidmatan makmal malah juga daripada aspek sumber tenaga teknikal khususnya dalam bidang makmal klinikal.
Yang Berhormat Dato berkata selanjutnya bahawa kementeriannya mempunyai aspirasi untuk menjadikan sektor kesihatan sebagai sektor yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara.