Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Dewan Perniagaan Cina Bandar Seri Begawan, hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan para penaja dan peserta bagi Season Fair: Family Fun yang berlangsung di bangunan ibu pejabatnya, di sini.
Menandatangani bagi pihak Dewan Perniagaan Cina Bandar Seri Begawan tersebut ialah Presidennya, Malcolm Lim Tiong Han dan Timbalan Naib Presiden, Lee Chung Keng.
Ketua Komersial dan Industri, Dewan Perniagaan Cina, David Lim dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa pameran berkenaan antara lain bertujuan untuk mengumpulkan vendor bagi mempamerkan produk terbaharu mereka dan memberi mereka platform untuk mendapatkan lebih banyak pendedahan.
Para peserta pameran terdiri daripada institusi pengajian tinggi, peruncit perabot, makanan kesihatan tempatan, penjagaan kulit hingga barang kemas ala Korea akan tersedia semasa acara tersebut nanti.
Season Fair: Family Fun yang bakal berlangsung Jun depan di One City Shopping Centre akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti cabutan bertuah, demonstrasi produk vendor, promosi dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Acara berkenaan ditaja oleh Bank Baiduri, Concepts Computer, Nexploit Services, A-ConKleen, Foo-Guan Gold-smith dan Hotel Lanes.
