Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Akademi Laut Malaysia (ALAM) hari ini, di Ibu Pejabat BGC, di Jerudong.
Menandatangani bagi pihak ALAM ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ALAM, Rafiq Khan Akbar Khan, sementara bagi BGC telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan BGC, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Ia merupakan sebahagian daripada strategi BGC untuk memperluas dan menjalin hubungan formal dengan lebih banyak institusi pembelajaran dan latihan rantau untuk memenuhi perkembangan pelaut Brunei, dan juga membantu memupuk pembangunan industri maritim Brunei yang mampan. Pada bulan Mac lalu, MoU serupa turut ditandatangani dengan Akademi Maritim Singapura (SMA).
Selain itu penandatanganan MoU dengan ALAM yang diadakan secara maya itu adalah untuk mewujudkan hasrat BGC untuk mempromosikan dan mengembangkan kolaborasi dan kerjasama formal antara BGC dan ALAM dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan program latihan yang mempunyai kepentingan bersama.
MoU tersebut dilihat sebagai pemboleh bagi semua pihak yang terlibat, untuk bekerjasama dan meneroka peluang latihan yang mempunyai kepentingan bersama, terutama dalam menangani keperluan untuk memperkaya atau menambah tenaga kerja maritim pada masa ini.
MoU juga akan membuka jalan untuk perkongsian dan pertukaran pensyarah dan pelatih, yang membolehkan kakitangan memperoleh akses kepada maklumat berharga yang menuju ke arah peningkatan kemampuan, terutama di bidang pensijilan yang lebih tinggi, penukaran daripada stim ke motor, dan pensijilan ‘melatih pelatih’.
Akhirnya, melalui MoU berkenaan, ia juga membuka jalan untuk meneroka peluang perniagaan yang berpotensi, meningkatkan pengetahuan teknikal BGC dan akhirnya meningkatkan aspirasi BGC untuk menjadi saluran bakat utama untuk industri maritim di Brunei Darussalam.