Thursday, September 19, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU Dynamik, BIL kukuhkan kolaborasi

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Dalam mengorak langkah signifikan ke arah memajukan landskap teknologi dan digital Negara Brunei Darussalam, Dynamik Technologies mengumumkan kolaborasinya dengan Brunei Innovation Lab (BIL).

    Sehubungan itu, majlis penandatangani memorandum persefahaman di antara Dynamik Technologies dan BIL telah diadakan di BIL, Khub, Taman Teknologi Anggerek Desa, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Dynamik Technologies, di sini, hadir untuk menandatangani perjanjian berkenaan ialah Pengerusi BIL, Haji Mohd Shahnoel bin Haji Mohd Noeh dan bagi pihak Dynamik Technologies ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib.

    Perjanjian itu telah disaksikan oleh Pengurus Besar BIL, Awang Saiful Azzam bin Haji Sarpudin dan Pemangku Ketua Pembangunan Perniagaan Dynamik Technologies, Albert Hwong.

    Dalam ucapannya di majlis berkenaan, Dayang Haslina menyatakan perasaan teruja untuk bekerjasama dengan BIL sebagai sebahagian daripada komitmen bersama untuk memupuk sebuah ekosistem digital yang maju di Brunei dan seterusnya.

    Beliau menyatakan lagi bahawa kerjasama Dynamik Technologies dengan BIL sebagai Rakan Kongsi Perundingan Digital Rasmi adalah bertepatan dengan pelancaran Program Innovation as a Service KARYADI , tidak lama lagi.

    Sementara itu, Haji Mohd Amirul Shahnoel dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa kolaborasi antara Dynamik Technologies dan BIL adalah lebih daripada hanya sebuah kerjasama, di mana ia merupakan kombinasi visi, kepakaran dan komitmen bersama untuk memupuk sebuah komuniti pakar teknologi yang mantap.

    Bersama-sama, tambahnya, mereka berhasrat untuk memupuk bakat, merangsang kreativiti serta memacu pertumbuhan landskap digital kita.

    Penandatanganan memorandum persefahaman itu, menandakan sebuah mercu tanda signifikan dalam perjalanan inovasi Brunei dan Dynamik Technologies adalah komited untuk memacu transformasi digital dan menyokong komuniti digital tempatan.

    Dayang Haslina (dua kanan) dan Haji Mohd Amirul Shahnoel (dua kiri) bergambar bersama sejurus selepas penandatanganan perjanjian berkenaan. – GAMBAR SERAHAN DYNAMIK TECHNNOLOGIES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda