MoU kawal selia radiasi telekomunikasi

KUCHING, 14 JUN – Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Agensi Nuklear Malaysia (ANM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam mengawal selia radiasi telekomunikasi di Sarawak.

Ketua Pengarah ANM, Dr Mohd Abd Wahab Yusof berkata ANM akan membantu SMA dalam memastikan setiap menara komunikasi di negeri ini selamat dan mempunyai sijil.

“Keduanya, kita akan membuat pengukuran dari segi Gelombang Radio (Radio Frequency/RF) yang digunakan di setiap menara adalah selamat.

“Selain itu, ANM juga akan turut membantu memberikan maklumat kepada rakyat tentang keselamatan RF,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Jelas beliau, setiap menara telekomunikasi di Malaysia mempunyai had frekuensi yang telah ditetapkan.

“Dalam hal ini, ANM berperanan untuk memantau tahap frekuensi menara telekomunikasi yang ada di Sarawak dan mengeluarkan sijil. Setiap sijil mempunyai kod QR yang membolehkan orang ramai menyemak maklumat dan status menara tersebut,” katanya. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak (kanan) bersama Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (ANM) Dr Mohd Abd Wahab Yusof (kiri) hari ini bagi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam mengawal selia radiasi telekomunikasi dalam memastikan setiap menara komunikasi di negeri ini selamat dan mempunyai sijil di seluruh negeri Sarawak. – Bernama