Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura telah memperluaskan lagi hubungan istimewa yang telah lama terjalin dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pembangunan sosial yang dimeterai secara persidangan video, kelmarin.
MoU antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Republik Singapura tersebut berperanan sebagai asas bagi mengadakan kerjasama praktikal dan program-program peningkatan kapasiti.
Ini antara lain melalui perkongsian amalan terbaik dan pertukaran maklumat, penempatan kerja dan pelaksanaan program latihan berkaitan hal ehwal kebajikan, perkhidmatan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak, warga emas, wanita dan orang kelainan upaya (OKU).
Hadir menyaksikan penandatanganan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Tetap di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Setiausaha Tetap Kedua, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Stanley Loh Ka Leung bagi pihak kerajaan Republik Singapura.

Semasa majlis penandatanganan tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menekankan bahawa KKBS dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Republik Singapura berkongsi visi yang sama iaitu untuk membangun kedayatahanan dalam kalangan masyarakat yang prihatin dan inklusif, terutamanya melalui gabungan usaha pihak kedua-dua kerajaan serta rakan-rakan kongsi utama, dengan pelaksanaan program dan inisiatif pada masa kini dan akan datang.
Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa perlaksanaan MoU itu nanti akan meningkatkan lagi kerjasama yang sedia ada, terutamanya bagi kedua-dua kementerian untuk terus bekerjasama secara lebih rapat melalui perkongsian dan peningkatan amalan terbaik daripada kedua-dua belah pihak.
Beliau turut mengetengahkan bahawa kerjasama dalam bidang-bidang kepentingan bersama yang baharu juga akan dapat diterokai antara kedua-dua kementerian terutamanya dalam komitmen bersama untuk menjaga di samping memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat masing-masing sentiasa terpelihara.
TYT Masagos Zulkifli pula menekankan kepentingan MoU berkenaan yang dihasratkan untuk memperkukuhkan lagi hubungan istimewa yang lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, serta memperdalamkan lagi kerjasama dan persahabatan antara KKBS dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Republik Singapura.
Tuan Yang Terutama juga menyatakan bahawa MoU berkenaan memperlihatkan tekad kedua-dua kementerian dalam memanfaatkan pengalaman dan amalan terbaik masing-masing untuk membangun masyarakat yang kukuh dan berdaya tahan, di samping memastikan golongan yang terdedah di negara masing-masing tidak akan ketinggalan.
Tuan Yang Terutama turut memberikan penghargaan atas peluang bagi kedua-dua kementerian untuk bekerjasama dan menyambut baik usaha penerokaan yang lebih lanjut dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama khususnya yang akan memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua buah negara.
Sebelum majlis penandatanganan, kedua-dua menteri telah bertukar pandangan mengenai isu-isu yang ditangani oleh kedua-dua kementerian.
Dalam mempraktikkan dan menyesuaikan keadaan terhadap norma-norma baru berikutan perkembangan terkini pandemik COVID-19, kedua-dua menteri menekankan pentingnya untuk mengukuhkan dan memperkayakan lagi hubungan kerjasama ini pada masa yang akan datang, terutamanya dalam memastikan perkhidmatan dan perlindungan sosial akan terus diperkukuhkan dalam jangka masa yang panjang demi kemanfaatan golongan yang terdedah di Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.