Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    MoU kendali kursus Bahasa Turkiye di UNISSA

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Turkiye terutamanya dalam bidang pendidikan diperkukuhkan lagi apabila Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Kedutaan Republik Turkiye di Brunei Darussalam bagi pengendalian Kursus Bahasa Turkiye.

    Majlis penandatanganan MoU berkenaan telah berlangsung di UNISSA, hari ini, di mana menandatangani bagi pihak universiti tersebut ialah Rektor, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal manakala itu, Duta Besar Istime-wa dan Mutlak Republik Turkiye ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy bagi pihak kedutaannya.

    Sepanjang kursus selama 12 minggu itu, para peserta akan dibimbing oleh isteri TYT Profesor Dr Hamit Ersoy iaitu Lale Ersoy.

    TYT Profesor Dr Hamit Ersoy ketika ditemui menjelaskan, UNISSA merupakan universiti pertama di negara ini yang menjalinkan kerjasama dalam menyediakan Kursus Bahasa Turkiye.

    Menurutnya, peluang berkenaan juga diberikan kepada universiti-universiti lain yang berhasrat untuk mengadakan kerjasama dalam kursus seumpamanya.

    TYT Profesor Dr Hamit Ersoy dan Dr Haji Norarfan bertukar-tukar dokumen MoU yang dimeterai.

    “Kursus ini diadakan setelah melihat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan ia secara tidak langsung dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara terutama dalam bidang pendidikan,” tambahnya.

    Sementara itu, Dr Haji Norarfan pula menjelaskan, Bahasa Turkiye merupakan salah satu bahasa yang penting di peringkat global pada masa ini.

    Oleh itu, Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, UNISSA dan Institut Yunus Emre Turkiye dengan sokongan Kedutaan Republik Turkiye di Brunei menganjurkan Kursus Bahasa Turkiye di UNISSA.

    “Untuk peringkat awal ini, ia hanya dibukakan kepada warga UNISSA dan pada masa akan datang, UNISSA dengan kerjasama Institut Yunus Emre Turkiye akan membukakannya kepada orang awam,” jelasnya.

    Beliau berkata, kursus berkenaan disertai oleh 18 orang warga UNISSA yang berdaftar dan sijil kursus akan disediakan oleh Institut Yunus Emre Turkiye.

    Kursus berkenaan disokong oleh Pusat Promosi Bahasa dan Budaya Turkiye, Institut Yunus Emre di Kuala Lumpur, Malaysia yang mana, ia merupakan kursus pertama yang diadakan di luar pejabat kedutaan di negara ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...