MoU kerjasama halal dimeterai

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Brunei Darussalam (BD-BEBC) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) bagi pembangunan dan perdagangan produk-produk patuh syariah.

Majlis penandatanganan MoU berkenaan telah berlangsung di Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei, Sungai Akar, hari ini.

Hadir semasa majlis penandatanganan MoU tersebut ialah perwakilan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Negara Brunei Darussalam, Andrew HC Lee dan Pengerusi BD-BEBC, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman.

Andrew HC Lee dalam ucapannya menjelaskan bahawa penandatanganan MoU tersebut adalah pernyataan pentingnya kerjasama halal untuk Brunei dan Taiwan. Ia adalah titik permulaan yang menggembirakan dan menjanjikan persahabatan yang mesra dan saling menguntungkan serta potensi pasaran dan peluang perniagaan kepada kedua-dua belah pihak.

Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Brunei dan BD-BEBC dengan sokongan penuh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MOEA) Taiwan dan TAITRA, sejak 10 bulan lalu telah terlibat dalam beberapa siri perbincangan mengenai kandungan dan mekanisme MoU tersebut dengan perbincangan yang produktif yang menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperluas dan mempererat kerjasama dalam banyak bidang.

MoU berkenaan juga memfokuskan pada peluang pelaburan dalam ekonomi halal dengan potensi terbesar untuk usaha sama antara Taiwan dan Brunei, tambah Andrew HC Lee semasa menyampaikan ucapannya.

Dengan mempertimbangkan potensi pasaran dan peluang perniagaan yang besar, melibatkan 1.9 bilion penduduk Muslim, industri halal adalah salah satu pemacu ekonomi global dan menjalin kerjasama yang lebih kuat dalam sektor halal merupakan tonggak penting dalam interaksi perdagangan, perniagaan dan pelaburan antara Taiwan dan Negara Brunei Darussalam.

Andrew HC Lee dan Pengiran Haji Haris bertukar-tukar dokumen MoU.