Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU majukan teknologi tenaga mampan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Oxford Green Innotech (Oxgrin) memeterai kerjasama yang signifikan menerusi penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang bermatlamat untuk memajukan teknologi tenaga mampan.

    Sehubungan dengan itu, majlis penandatanganan MoU antara UBD dan Oxgrin diadakan secara hibrid di UBD, hari ini.

    Pada majlis itu, UBD telah diwakili oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Oxygrin diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Oxygrin, Dr Simson Wu.

    Menerusi kerjasama itu, UBD dan Oxygrin akan meneroka penyelidikan dan inovasi dalam penyelesaian tenaga bersih khususnya tenaga hidrogen.

    Oxygrin merupakan sebuah syarikat hiliran dari University of Oxford, iaitu sebuah perintis global dalam pengeluaran hidrogen sifar pelepasan menerusi teknologi pemangkin penguraian amonia.

    Dr Hazri semasa majlis penandatanganan MoU antara UBD dan Oxgrin yang diadakan secara hibrid di UBD, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Dr Simson Wu bergambar dengan dokumen perjanjian yang telah ditandatangani. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Penjana kuasa amonia Oxygrin, yang pada masa ini digunakan oleh UBD, menunjukkan pendekatan canggih berkenaan dapat menghasilkan kuasa elektrik hijau dengan menggunakan amonia sebagai sumber bahan api serta menyediakan sebuah pendekatan praktikal teknologi sifar pelepasan di Brunei Darussalam.

    Dengan menggabungkan kepakaran teknikal Oxygrin dengan fasiliti dan keupayaan penyelidikan UBD, MoU itu bermatlamat untuk meningkatkan inisiatif penyelidikan dalam tenaga mampan dan pembangunan teknologi hijau di Brunei Darussalam.

    Kerjasama itu juga dihasratkan untuk mempromosikan kesedaran dan penerimaan pakai amalan tenaga mampan menerusi inisiatif bersama dan program pendidikan.

    Kerjasama strategik itu bukan sahaja bermatlamat untuk memajukan penyelidikan dalam tenaga mampan tetapi juga memperkayakan pengalaman pendidikan bagi kakitangan dan pelajar UBD.

    Dengan memanfaatkan teknologi kuasa amonia inovatif Oxygrin, ia akan mengembangkan reputasi UBD sebagai sebuah pusat kecemerlangan dalam penyelidikan tenaga mampan sambil menyumbang kepada ekonomi hijau Brunei.

    Berikutan dengan kejayaan ujian kebolehlaksanaan, penjana kuasa amonia Oxygrin telah dihantar ke Brunei dan pada masa ini, beroperasi dengan kolaborasi UBD.

    Dr Simson Wu menyatakan dengan menggabungkan kepakaran dan sumber, kita boleh membuat kemajuan berimpak dalam mengurangkan pelepasan karbon, menyediakan pilihan tenaga yang lebih mudah diakses dan hijau yang boleh memberikan manfaat kepada komuniti di serata rantau ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda