Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    MoU PBMP, Maritim Ghana teroka peluang pekerjaan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Dalam usaha meningkatkan latihan untuk pelaut dan pengawasan yang lebih baik di peringkat antarabangsa, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) baru-baru ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Maritim Ghana.

    MoU berkenaan adalah mengenai pengiktirafan bersama sijil-sijil yang dikeluarkan di bawah peruntukan Konvensyen Antarabangsa mengenai Standard Latihan, Pensijilan dan Penyimpanan Pengawasan untuk Pelaut, 1978 sebagai dipinda (Konvensyen STCW) di Bandar Seri Begawan dan juga Accra Ghana.

    Menandatangani bagi pihak PBMP ialah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PBMP, Kapten Abdul Mateen bin Abdurrahman Liew @ Martin manakala Pihak Berkuasa Maritim Ghana diwakili oleh Ketua Pengarah, Thomas K. Alonsi.

    Kapten Abdul Mateen pada majlis itu berkata, “Penandatanganan MoU dengan Ghana merupakan satu peristiwa penting di mana ia merupakan negara anggota Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pertama dari rantau Afrika yang mengiktiraf pensijilan Brunei Darussalam di bawah peruntukan STCW”.

    Menurutnya lagi, penandatanganan MoU itu juga membawa Brunei melangkah lebih dekat menuju visinya untuk mewujudkan pekerjaan untuk pelaut Brunei di mana pelaut yang berkelayakan boleh meneroka peluang pekerjaan dengan kapal di bawah bendera negara yang telah ditandatangani dalam MoU tersebut.

    Brunei juga penandatangan kepada beberapa Konvensyen IMO yang mana kebanyakannya kini termaktub dalam akta perkapalan negara dan peraturan yang dibuat di bawahnya.

    Kapten Abdul Mateen semasa menandatangani MoU bersama Pihak Berkuasa Maritim Ghana. – Gambar serahan PBMP
    Thomas K. Alonsi mewakili Pihak Berkuasa Maritim Ghana pada majlis penandatanganan MoU kelmarin.

    Salah satu Konvensyen tersebut ialah Konvensyen STCW, di mana konvensyen berkenaan menetapkan piawaian minimum untuk latihan dan pensijilan pelaut yang mesti memenuhi kelayakan untuk mengendalikan kapal laut antarabangsa di jabatan kejuruteraan nautika dan marin kapal-kapal.

    Konvensyen itu, melalui peruntukan timbal balik, membenarkan warga negara bekerja di mana-mana kapal yang berdagang di peringkat antarabangsa, serta membolehkan negara mengiktiraf kelayakan pelaut dari negara lain yang mungkin bekerja di kapal masing-masing.

    Dengan penandatanganan MoU itu, Brunei dan Ghana akan membolehkan pelaut yang mempunyai pensijilan kecekapan dan kemahiran untuk berkhidmat di atas kapal yang didaftarkan di bawah bendera mana-mana pihak.

    Ia juga dihasratkan untuk melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan pelaut dididik dengan pengetahuan yang sesuai mengenai perundangan maritim dan dilatih dalam undang-undang dan peraturan maritim.

    Ini adalah untuk memastikan mereka mempunyai kecekapan yang diperlukan untuk tugas yang dibenarkan mereka lakukan.

    Di samping itu, MoU berkenaan akan memastikan kedua-dua pihak menghantar sistem pensijilan pelaut mereka kepada IMO untuk penilaian dan pengesahan, di mana latihan dan penilaian pelaut ditadbir, diselia dan dipantau untuk menunjukkan pematuhan penuh terhadap peruntukan Konvensyen STCW 1978.

    Dengan MoU itu juga diharap akan dapat memperkukuh hubungan maritim Brunei dan Ghana dan ekonomi kedua-dua negara seterusnya membuka jalan kerjasama dalam banyak bidang lain pada masa hadapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...