Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama 13 buah syarikat bagi memberi peluang kepada 25 orang pelajar menjalani latihan dalam pekerjaan.
Majlis penandatanganan MoU berkenaan telah diadakan di Sekolah Penerbangan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal di mana hadir untuk menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Zulhilmi bin Haji Abidin.
Menandatangani bagi pihak IBTE ialah Pengarah Pendidikan Teknikal dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr. Chin Wei Keh dan Pengetua IBTE Pusat, Dr. Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid.
Syarikat-syarikat yang terlibat adalah Ams-oil Pro Auto Services Sdn Bhd, Bee Motors Sdn bhd, Bengkel Kereta Berakas Sdn Bhd, Boustead Sdn Bhd, GHK Motors Sdn Bhd, Grand Motors Sdn Bhd, Hock Siong Hin Automotive Parts and Service Centre, Jati Transport Sdn Bhd, NBT (Brunei) Sdn Bhd, Premier Motors Sdn Bhd, QAF Auto Sdn Bhd, Setia Motors Sdn Bhd dan T.C.Y Motors Sdn Bhd.
Para pelajar yang akan mengikuti latihan di syarikat-syarikat berkenaan adalah mereka yang mengikuti Program Perantisan Ntec dalam Juruteknik Automotif di IBTE Kampus Mekanikal.


Dr. Sheikh Lukman dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut antara lain memberitahu bahawa kerjasama yang telah terjalin antara pihak IBTE dan pihak berkepentingan telah banyak membantu dalam perkembangan kurikulum sekali gus turut merapatkan jurang kemahiran yang ada selain memberikan pengalaman serta latihan kepada para pelajar melalui aspek praktikal dan teori yang dipelajari,
Beliau turut menyeru agar setiap pelajar sentiasa bersiap sedia dalam menyahut cabaran tenaga kerja dalam abad ke-21 ini.
“Para pelajar perlu bersedia dan melengkapkan diri dengan kemahiran serta sikap yang baik untuk mendapat pekerjaan. Ini dapat dilihat melalui beberapa majikan yang ada pada masa kini yang mengutamakan sikap dan komitmen yang ditonjolkan,” jelasnya lagi.
Menurut beliau, sehingga ke hari ini, IBTE telah melahirkan beberapa orang perantisan yang berjaya dalam bidang yang mereka ceburi, hal tersebut membuktikan bahawa kolaborasi yang telah ada membuahkan hasil amat membanggakan.
Oleh itu, beliau berharap agar lebih banyak lagi pihak yang berkepentingan tampil ke IBTE bagi sama-sama berganding bahu dalam memberi peluang dalam mendidik para pelajar pada masa yang akan datang.