MoU Pesta Roda-roda Brunei dimeterai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Enam buah syarikat dan dua buah persatuan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi penganjuran Pesta Roda-roda Brunei 2019 yang merupakan salah satu acara bersempena Festival Disember Brunei 2019.

Penandatangan MoU antara Mortar Events, AdXpert Marketing, Nanet Enterprise dan Wings Motor Gang Society itu telah diadakan di Jo Art Gallery, Kiulap, hari ini.

Majlis turut menyaksikan penandatanganan perjanjian bersama RYS Entertainment selaku kontraktor acara rasmi serta Persatuan Helang Brunei, JoArt Gallery dan Pat’s a Life Style selaku rakan kongsi.

Penandatanganan berkenaan juga bertujuan bagi mempromosi Pesta Roda-roda Brunei 2019 sebagai acara penting berkaitan dengan roda.

Pesta berkenaan akan diadakan di Berakas pada pertengahan Disember depan.

Majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman antara penganjur bersama Pesta Roda-roda Brunei 2019.

Pesta berkenaan merupakan salah satu daripada inisiatif Festival Disember Brunei oleh Lembaga Pelancongan Brunei, yang dijangkakan menjadi pesta besar dengan melibatkan pelbagai vendor yang mempamerkan produk unik dan konvoi motosikal.

Turut diadakan semasa pesta tersebut ialah pertunjukan kereta dan motosikal di mana para pengunjung juga dapat mengundi kenderaan kegemaran untuk memenangi hadiah di samping undian oleh barisan hakim.

Selain itu, kiosk makanan, jualan ‘car boot’ dan aktiviti-aktiviti berorientasikan kekeluargaan juga akan diadakan bagi menghiburkan para pengunjung.

Penganjur bersama berharap bahawa acara tersebut akan menghimpunkan para peminat motosikal dan kereta sebagai satu komuniti bagi menghargai dan meraikan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan roda, serta menjana minat dan kegembiraan pengunjung dalam dan luar negara.