MoU SKALA pantau projek persekutuan

KOTA KINABALU, 17 SEPT – Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah hari ini menandatangan memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan program integrasi data Sistem Kawal dan Lapor (SKALA) untuk melancarkan lagi proses pemantauan pelaksanaan projek Persekutuan di Sabah.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata integrasi sistem berkenaan dapat memberikan manfaat kepada pegawai JKR Malaysia dan JKR Sabah dalam mengurus projek yang sedang dilaksanakan di negeri itu.

“Melalui pemantauan projek yang dilaksanakan, ia berupaya dapat memberi maklumat yang tepat dan terkini bagi meningkatkan kecekapan komunikasi dan pelaporan secara dalam talian.

“Ini membolehkan data projek pembangunan Persekutuan dan Negeri dapat diakses secara bersama. Perkongsian data ini juga akan mempercapatkan proses pelaporan kemajuan fizikal projek bagi membolehkan pemegang taruh memperolehi maklumat dengan segera, selain dapat menjimatkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan di sini, hari ini yang turut disaksikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Menteri Kerja Raya Sabah. – Bernama