Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    MoU teroka penyelidikan, kajian kolaboratif kesihatan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – EVYD Technology dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka bidang penyelidikan dan kajian kolaboratif untuk kepentingan bersama.

    MoU tersebut akan memanfaatkan penyelesaian terbukti EVYD Technology yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan dan data besar (big data) serta pengalamannya mengoptimumkan sistem penjagaan kesihatan untuk negara dan syarikat serta pengurusan kesihatan peribadi untuk individu.

    Dengan penandatanganan MoU itu, kerjasama bidang penyelidikan, pendidikan dan program latihan yang diminati bersama akan dijalankan untuk lima tahun, dengan pilihan untuk melanjutkan lima tahun lagi.

    Majlis penandatanganan MoU itu berlangsung di premis EVYD di Jerudong di mana menandatangani bagi pihak EVYD Technology ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Chua Ming Jie, dan UBD diwakili oleh Naib Canselor, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Pada masa ini, kedua-dua pihak sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam kajian mengenai kesan buruk yang timbul daripada vaksinasi COVID.

    Ketua Pegawai Eksekutif EVYD, Chua Ming Jie dan Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle bertukar-tukar dokumen selepas memeterai MoU.
    Majlis penandatanganan MoU antara EVYD dan UBD.

    Kedua-dua rakan kongsi MoU itu juga sedang menjalankan kajian penyelidikan dengan kementerian dan Sekolah Perubatan Duke-NUS di Singapura yang melibatkan Kit Pengesanan Antibodi Peneutralan cPass, yang mengukur bukti sebenar bagi vaksin COVID yang berbeza dalam menjana antibodi peneutralan terhadap virus itu.

    Hasil kajian itu akan membolehkan kementerian menilai keimunogenan vaksin berbeza yang digunakan di negara ini, serta memaklumkan pembuatan keputusan dasar untuk sebarang program penggalak dan pengurusan COVID berstrata risiko.

    Fasa kedua ialah kajian pemantauan di mana peserta daripada fasa pertama kajian akan dinilai pada garis masa berlainan dalam tempoh 12 bulan selepas vaksinasi, tanpa mengira sejarah jangkitan COVID selepas vaksinasi.

    Selain itu, kedua-dua pihak juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan mengenai kajian mikrobiom yang melibatkan peserta yang sama daripada kajian cPass.

    Di bawah MoU itu, ia juga akan menyediakan penempatan dan latihan industri untuk pelajar dan kakitangan UBD di EVYD Technology dan syarikat gabungannya dengan skop mungkin termasuk lawatan sambil belajar, kerja lapangan, perbincangan, seminar, penempatan kerja dan kursus latihan, dan EVYD Technology boleh juga menghantar kakitangannya untuk mengendalikan kuliah di UBD untuk mendidik dan melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang relevan, serta berkongsi pengalaman mereka.

    Ketua pegawai eksekutif EVYD menyatakan MoU itu merupakan inisiatif terbaharu untuk mengukuhkan hubungan mereka kerana EVYD telah pun bekerjasama dengan universiti tersebut dalam beberapa projek serta merekrut graduannya.

    Naib Canselor UBD juga melahirkan rasa gembira dengan penandatanganan MoU berkenaan, yang mengesahkan usaha UBD mengejar kecemerlangan akademik dan penyelidikan melalui perkongsian strategik universiti-industri dan sudah pasti ia akan membuka jalan untuk lebih banyak projek penyelidikan berimpak tinggi.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...