MOU: UNISSA, MSU perluas kolaborasi institusi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Dalam mengorak langkah untuk memperluaskan hubungan dan kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi luar negara, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Management and Science University (MSU), Malaysia.

MSU merupakan salah sebuah universiti terbaik di dunia yang berada di tahap 601-650 mengikut Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS-WUR) 2022 dan dalam senarai 22 buah universiti terbaik di Malaysia, menurut kenyataan UNISSA, hari ini.

Kenyataan menjelaskan lanjut dalam situasi penularan COVID-19, penandatanganan MoU berkenaan hanya dapat dilangsungkan secara desk to desk antara kedua belah pihak.

Sehubungan itu, pada majlis penandatanganan berkenaan, menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektornya, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan mewakili MSU ialah Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Kenyataan menjelaskan bahawa MoU itu merupakan satu inisiatif kolaboratif yang membuka ruang baharu kepada UNISSA untuk merealisasikan visinya menjadi sebuah universiti Islam tulen bertaraf antarabangsa yang progresif dan dinamik berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Melalui MoU berkenaan, kedua-dua buah universiti berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dan kolaborasi dalam pelbagai bidang teras iaitu penyelidikan, pengajaran dan pembangunan staf serta pelajar. Salah sebuah fakulti dari UNISSA yang akan mengambil inisiatif awal untuk mengadakan jalinan usaha sama berkenaan ialah Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) bersama dengan Faculty of Business and Professional Studies (FBPS), MSU.

Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa Dekan FEKIm, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani bersama seluruh tenaga akademik fakulti melahirkan iltizam untuk menyusun dan menjalankan beberapa program kerjasama dalam bidang berkepentingan iaitu ekonomi, kewangan Islam dan pengurusan dengan FBPM MSU dalam masa terdekat.

Ini antaranya ialah pengembangan dan pengukuhan program pengajian sedia ada, pertukaran pelajar di peringkat prasiswazah, kolaborasi penyelidikan dan penerbitan antara tenaga akademik dan pelajar di peringkat siswazah, penganjuran bersama seminar, persidangan, bengkel, latihan, penempatan pelajar untuk latihan industri dan sebagainya.

Dr Haji Norarfan ketika menandatangani memorandum persefahaman bagi mewakili UNISSA. – Gambar serahan UNISSA