Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) bagi mewujudkan makmal Internet of Thing (IoT) di Sekolah Teknologi Infokomunikasi, Kampus Sultan Saiful Rijal.
Penandatanganan MoU berkenaan merupakan salah satu titik tolak bagi merapatkan hubungan kerjasama yang sekian lama terjalin antara kedua-dua pihak.
Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyaksikan pendatanganan MoU tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Menandatangani bagi pihak IBTE ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Teknik juga Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dan disaksikan oleh Pemangku Pengetua Kampus Sentral, Awang Armi Durani bin Haji Durhman.
Manakala itu, AITI diwakili oleh Pemangku Ketua Eksekutif, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar dan disaksikan oleh Penolong Ketua Eksekutif Pengurusan Sumber, Awang Norsharul Nizam bin Othman.


Dr Haji Mohd Zamri dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, kerjasama antara AITI dan IBTE telah lama terjalin khususnya dalam penglibatan perkembangan kurikulum bagi program berkaitan dengan IT.
Selain itu, lima pelajar telah terlibat dalam pengendalian proses peralatan komputer yang disumbangkan kepada institut pembelajaran dalam talian pada April lalu bagi menyokong inisiatif pembelajaran dalam talian.
Beliau seterusnya menambah, dengan adanya makmal itu nanti, ia akan memberi pendekatan dan membantu tenaga pengajaran dan pelajar IBTE untuk menerokai kemajuan teknologi terkini dalam menghadapi keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang akan datang.
“Melalui platform itu, pelajar akan dapat banyak manfaat memperolehi pengetahuan serta kemahiran malah mampu mengembangkan kreativiti dan mencipta prototaip peranti yang lebih efisien dan sistematik supaya dapat dipertandingkan dalam Pertandingan BICTA dan CIPTA,” jelasnya.
MoU itu juga bertujuan untuk mengenal pasti projek dan inisiatif yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak selain memberi pendekatan dan membantu tenaga pengajar serta pelajar IBTE untuk menerokai kemajuan teknologi inovatif sebagai persiapan dalam menghadapi IR 4.0.
Dalam pada itu, modul IoT juga akan diserapkan pada semester ketiga dalam Program HNTec bagi Kursus Information Technology dan HNTec bagi Kursus Computer Networking pada pengambilan Julai 2021.