LOS ANGELES, 17 JULAI – Chelsea, membuat persiapan bagi musim Liga Perdana pertama mereka sejak konsortium Todd Boehly membeli kelab tersebut, menewaskan Club America 2-1 dalam perlawanan persahabatan kelab antarabangsa di Las Vegas kelmarin.
Mason Mount mengesahkan kemenangan Chelsea pada minit ke-83 dengan rembatan kaki kanan sensasi dari luar kotak.
Timo Werner memberikan Chelsea pendahuluan seketika pada minit ke-55 tetapi hantaran ke belakang yang kurang kemas daripada Reece James menyebabkan gol sendiri pada lima minit kemudian yang menghadiahkan Club America gol penyamaan. Seramai 47,223 orang penonton yang hadir di Stadium Allegiant, tempat pasukan NFL Las Vegas Raiders, menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut untuk menamatkan separuh masa pertama.
Pemain antarabangsa Brazil dari Chelsea, Kenedy membuat percubaan yang tesasar pada minit ke-24 dengan Kai Havertz merembat melepasi palang pada minit ke-29 dan pada minit ke-40 penjaga gol Amerika, Oscar Jimenez menghalang tandukan Thiago Silva dari tengah kotak.
Chelsea akhirnya berjaya memecah kebuntuan selepas rehat. Seminit selepas rembatan Michy Batshuayi tersasar, James membuat hantaran kepada Werner di dalam kotak. Rembatan Werner kemudiannya dinafikan oleh Jimenez, tetapi lantunan itu kembali kepada penyerang Jerman itu yang melakukan rembatan dari jarak dekat. – AFP