Mount tegaskan bukan masa untuk berhenti

LONDON, 12 OKT – Pemain tengah England dan Chelsea, Mason Mount (gambar) berkata semalam melihat namanya dicalonkan dalam senarai 30 pemain untuk Ballon d’Or adalah sesuatu yang istimewa.

Namun pemain berusia 22 tahun itu menegaskan perjalanannya baru sahaja bermula selepas setahun membantu The Blues memenangi Liga Juara-Juara dan England mara ke pusingan akhir kejohanan utama sejak 1966.

“Ia sangat istimewa. Untuk menyaksikan nama saya bersama-sama dengan pemain lain sememangnya satu impian,” Mount memberitahu wartawan menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia bersama England menentang Hungary, hari ini.

“Hasil kerja keras, dedikasi selama setahun, ia menunjukkan segalanya kini membuahkan hasil. Ini baru sahaja permulaan, saya tidak mahu berhenti sekarang.”

Mount tidak menganggap akan memenangi anugerah tersebut, dengan Lionel Messi menjadi calon pilihan untuk memenanginya buat kali ketujuh selepas memimpin Argentina memenangi Copa America.

“Saya sangsi untuk memenanginya namun siapa tahu,” tambah Mount. “Perkara paling penting bagi saya ialah cuba meningkat ke tahap yang saya tetapkan sebelum ini dan pergi lebih jauh.”

Mount berdepan saingan sengit untuk mengekalkan kedudukannya dalam skuad kesebelasan utama Gareth Southgate.

Pemain Manchester City, Phil Foden menyinar semasa The Three Lions membelasah Andorra 5-0, Sabtu lalu.

Southgate mengakui dia akan membuat rombakan besar-besaran semasa menerima kunjungan Hungary ke Wembley.

Harry Kane dan Raheem Sterling antara pemain yang bakal kembali, namun pengurus England berkata mustahil untuk memuaskan kehendak semua orang dengan pilihan penyerang berbakat yang ada.

“Sangat memeningkan dan saya merasa bersalah setiap kali memilih pemain,” dedah Southgate. “Sangat sukar setiap kali membuat pemilihan.”

Pasukan Southgate kini mempunyai kelebihan empat mata ke atas Albania dan lima mata di depan Poland dengan berbaki tiga perlawanan dalam Kumpulan I. – AFP