Mourinho galas tugas berat

LONDON, 14 Sept – Jose Mourinho memimpin Manchester United ke Watford esok dengan menyedari mereka tidak boleh tewas sekiranya mahu mengejar pencabar kelompok teratas Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan 2-0 ke atas Burnley diikuti rehat antarabangsa telah mengurangkan tekanan ke atas pengendali Portugal itu tatkala dia berusaha untuk menyuntik semangat positif skuad kendaliannya terhadap permulaan buruk musim ini.

Tewas di tangan Watford, yang menang kesemua empat aksi pertama mereka, akan meninggalkan United sembilan mata di belakang pendahulu selain menggagalkan pemburuan awal gelaran liga sepanjang bulan ini.

Sementara itu, bekas pemain pertahanan United dan England, Gary Neville berharap kelab lamanya itu masih dapat mencabar Chelsea, Manchester City dan Liverpool sekalipun dua kali tewas dalam empat perlawanan.

“Sekiranya mereka dapat kekal sehingga Januari dan mungkin membeli seorang atau dua pertahanan, mereka mungkin pendapat peluang. Saya rasa United akan berada di tempat ketiga atau keempat,” katanya kepada Times.

Mourinho menandatangani autograf penyokongnya sebelum aksi menentang Burnley bermula di Turf Moor, Burnley pada 2 September yang lalu. – AP

Neville menegaskan, ia masih awal untuk mengetepikan kemampuan Mourinho di sebalik kesukarannya pada awal musim ini, sekali gus mula dianggap sebagai jurulatih yang sudah kehilangan sentuhannya.

“Saya fikir Jose adalah pengurus yang hebat dan dalam karier 25 tahun, pe-ngendali muda akan muncul dan orang ramai akan bertanya sama ada anda berjaya,” katanya.

“Dia menghadapi banyak kesukaran, tetapi adakah ia sudah berakhir? Sudah tentu ia tidak masuk akal.”

Tugas Mourinho dalam menyelesaikan perselisihan bersama pemain tengah, Paul Pogba dan kelemahan pertahanan pasukannya tidak hilang semasa rehat antarabangsa, meskipun beberapa pemainnya memperlihatkan kekayaan sumber yang ada di negaranya. – AFP