HOUSTON, 21 Julai – Jose Mourinho menggesa bos-bos Manchester United menyelesaikan urus niaga perpindahan kelab secepat mungkin selepas menyaksikan penandatangan baru, Romelu Lukaku menemui sasaran sekali lagi dalam kemenangan 2-0 ke atas Manchester City pagi tadi.
Lukaku, yang telah menyertai United minggu lepas dari Everton dengan rekod perpindahan British, menjaringkan gol keduanya untuk United sementara, pemain remaja sensasi, Marcus Rashford juga meledakkan gol dalam kemenangan di Stadium NRG, Houston.
Selepas perlawanan, Mourinho yang jelas berpuas hati mengekspresikan keterujaan dengan situasi Lukaku dan pemain pertahanan baru, Victor Lindelof, menyesuaikan diri di kelab.
Tetapi pengurus dari Portugal itu, yang mahu mendapatkan sekurang-kurangnya seorang lagi pemain sebelum jendela perpindahan ditutup bulan depan, berkata bahawa dia berharap pembelian baru diharap dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Ketika saya melihat pasukan dan Lukaku, Lindelof, saya mahu semua skuad saya berada di sini, keseluruhan skuad,” kata Mourinho. “Jika anda mampu mendapat seorang lagi pemain, saya tidak mendesak untuk dua orang, jika kami boleh dapatkan seorang pemain lagi, secepat mungkin.

“Kerana kami boleh saksikan Lindelof dalam pasukan, Lukaku dalam pasukan. kesefahaman antara para pemain, hantaran Paul Pogba, cara Lukaku mengawal bola.”
Bagaimanapun, Mourinho memberi amaran bahawa dengan melihat perbelanjaan pasukan-pasukan lain dalam Liga Perdana, adalah penting untuk United mengukuhkan lagi skuad mereka.
“Kami memerlukan lebih lagi dan anda boleh saksikan pasukan-pasukan lain dalam Liga Perdana, cara mereka mendapat pemain bagus dan melihat juara (Chelsea) mendapatkan tiga pemain luar biasa yang berpengalaman, City dan Liverpool memasuki pasaran, manakala West Ham mendapatkan Joe Hart, Chicharito dan Arnautovic.
“West Ham, wow! Mereka juga bermain untuk memenangi Liga Perdana. Jadi pasukan-pasukan ini hebat dalam pasaran dan saya masih menunggu.”
United akan menghadapi dua perlawanan lagi di Amerika Syarikat sebelum kembali ke Eropah, dengan perlawanan menentang Real Madrid di Santa Clara pada hari Ahad, diikuti dengan perlawanan menentang Barcelona di Maryland minggu depan.
“Sepuluh hari bekerja, dua perlawanan di sini, AS, dan kemudian kembali ke Eropah,” kata Mourinho. – AFP