LONDON, 24 DIS – Jose Mourinho menuduh pemain tengah Tottenham, Dele Alli memberi ‘masalah’ kepada pasukannya sendiri semasa kemenangan 3-1 di Piala Liga peringkat suku akhir menentang Stoke kelmarin.
Penyerang Wales, Gareth Bale membuat penampilan yang jarang berlaku dan meletakkan pasukan kendalian Mourinho di hadapan dalam perlawanan yang berlangsung di stadium Bet365.
Tetapi Alli menjadi punca gawang Tottenham dibolosi apabila dia cuba membuat helah namun berjaya dipintas sehingga menyebabkan Jordan Thompson berjaya menyamakan kedudukan buat Stoke.
Kesilapan terbaharu Alli itu mencetuskan kemarahan dari Mourinho, yang memberi teguran kepada pemain bintang tersebut sebelum menggantikannya beberapa minit kemudian.
Ben Davis meletakkan Tottenham kembali di hadapan dengan gol pertamanya sejak 2017 sebelum ketua pasukan England, Harry Kane melengkapkan kemenangan sekali gus membawa pasukan mara ke pusingan suku akhir.

Insiden tersebut merupakan tumpuan buat Alli, yang tidak berada dalam prestasi terbaik sejak memulakan perlawanan pada 26 November.
Dia yang sudah lama disisihkan oleh Mourinho pada musim ini, telah dikaitkan dengan perpindahan pada Januari ke Paris Saint-Germain, Alli menjadi bayang-bayang kepada pemain yang pernah menyinar ketika kempen Piala Dunia 2018 separuh akhir.
Mourinho menjelaskan bahawa pemain berusia 24 tahun itu patut dipersalahkan atas kesilapannya.
“Ya, bagi saya seorang pemain yang bermain di posisi itu adalah pemain yang menghubungkan dan mencipta peluang dan bukan memberi masalah kepada pasukan sendiri,” kata Mourinho.
“Dalam situasi itu, objektif serangan balas adalah untuk menjaringkan gol, namun ia berakhir dengan serangan balas terhadap pemain pertahanan kami.
“Kami tidak seimbang kerana apabila kami menguasai bola, pemain bek kiri dan kanan berada di posisi lebar dan mereka menghukum kami melalui serangan balas dan mengubah keputusan perlawanan yang sepatutnya berada dalam genggaman kami, jadi ya kami sangat kecewa.”– AFP




























