LONDON, 21 Okt – Jose Mourinho menyifatkan gol penyamaan Ross Barkley pada minit ke-96 yang diraih Chelsea sebagai ‘keputusan yang mengerikan’ buat Manchester United.
Jaringan daripada Barkley pada masa tambahan itu menyebabkan United kempunan untuk meleburkan rekod tanpa kalah Chelsea selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stamford Bridge.
Malah, jaringan penyamaan itu juga hampir mencetuskan pergaduhan antara pemain dan pegawai kedua-dua pasukan.
Mourinho terpaksa dihalang oleh pegawai keselamatan apabila beliau cuba bertindak balas terhadap tindakan seorang staf pasukan Chelsea, Marco Ianni yang berlari di hadapan pengurus dari Portugal untuk meraikan jaringan Barkley.
Pengurus United itu kemudian memberi isyarat dengan tiga jari ke arah peminat Chelsea yang seakan merujuk kepada tiga gelaran Liga Perdana yang dimenanginya bersama kelab itu ketika dua kali bertindak sebagai pengurus. – AFP