Mourinho puji persembahan Alli

LONDON, 25 FEB – Jose Mourinho memuji aksi Dele Alli selepas pemain tengah Tottenham itu memastikan pasukannya masih mampu menyelamatkan musim suram dengan persembahan memukau dalam kemenangan 4-0 menentang pasukan kerdil Austria, Wolfsberger di Liga Europa dalam pusingan kelompok 32 terakhir.

Alli menjaringkan gol pembukaan menarik separuh masa pertama dan membantu menjaringkan gol apabila Carlos Vinicius meledak dua gol selepas separuh masa pertama.

Gareth Bale menyumbat gol hasil assist dari Alli sebelum Vinicius menjaringkan gol kedua ketika Tottenham mencatatkan kemenangan agregat 8-1 selepas menewaskan lawan mereka 4-1 di pusingan pertama minggu lalu.

Selepas mara ke pusingan 16 terakhir yang dilihat satu kebiasaan setelah menang selesa dalam pusingan pertama, tiada yang lebih melegakan buat Tottenham pada musim ini.

Jose Mourinho akan mampu menarik nafas lega setelah pasukannya berjaya mengekalkan impian untuk mara ke kelayakan Liga Juara-Juara.

Aksi Dele Alli menjaringkan gol pembukaan buat Spurs semasa pertemuan menentang Wolfsberger di Liga Europa, kelmarin. – AP

Hampir meninggalkan pasukan semasa jendela perpindahan pada Januari, Alli memainkan peranan penting dalam permulaan yang jarang berlaku selepas disisihkan oleh Mourinho kebanyakan musim ini.

“Gol tersebut tidak perlu berbicara kerana semua orang menyaksikannya dan saya percaya semua orang di seluruh dunia akan menontonnya, tidak perlu untuk bercakap mengenai gol tersebut,” kata Mourinho.

“Tetapi bagi saya persembahan adalah yang paling penting. Dia bermain dengan sangat baik dalam setiap aspek perlawanan.

“Sudah tentu prestasi belum memberangsangkan, sememangnya anda boleh merasakan bahawa persembahannya seperti dalam perlawanan pusingan pertama dari minit ke 55 hingga 60 menurun, ia sesuatu yang biasa disebabkan keadaan – kecederaan, tidak berlatih bagi tempoh yang panjang.

“Tetapi saat seperti ini apabila kami bermain setiap tiga hari, 10 perlawanan dalam bulan Mac, untuk melihat Dele kembali pada tahap ini adalah luar biasa.”- AFP