Mourinho tarik nafas lega

LONDON, 7 JULAI – Penyerang Tottenham, Son Heung-min terlibat dalam pergaduhan dengan rakan sepasukannya, Hugo Lloris pada separuh masa perlawanan dalam kemenangan pasukan mereka 1-0 menentang Everton semalam.

Ketika Son berjalan menuju ke terowong di Stadium Tottenham Hotspur, penjaga gol Perancis, Lloris mengejar bintang Korea Selatan itu dan menjerit kepadanya dan menarik bahunya.

Son yang biasanya tenang bertindak balas dengan marah dan kedua-kedua pemain itu dileraikan oleh rakan sepasukan Harry Winks dan Moussa Sissoko ketika pertengkaran itu semakin menjadi-jadi.

Nampaknya ketua pasukan Tottenham, Lloris kesal dengan kegagalan Son untuk menutup bola di bahagian tengah semasa perlawanan sebelum Everton melakukan serangan balas melalui Richarlison.

Walau bagaimanapun Son dan Lloris kelihatan telah kembali berbaik ketika mereka berpelukan di akhir perlawanan setelah Tottenham memperoleh kemenangan kedua mereka sejak EPL kembali semula berikutan COVID-19.

Pengurus Tottenham, Jose Mourinho semasa memberikan arahan kepada pemainnya di perlawanan antara Tottenham Hotspur dan Everton di Stadium Tottenham Hotspur, England, Khamis, semalam. – AP

Pasukan Mourinho berjaya meraih tiga mata penuh, terima kasih kepada jaringan sendiri pada separuh masa pertama perlawanan oleh pemain pertahanan Everton, Michael Keane, yang cuba menepis tendangan Giovani Lo Celso.

Kemenangan kedua Tottenham dalam 10 perlawanan terakhir mereka di semua perlawanan mengangkat mereka ke tempat kelapan di EPL, satu mata di belakang Arsenal di tempat ketujuh.

Hanya setahun setelah mereka mara ke final Liga Juara-Juara di bawah pengurus Mauricio Pochettino, Tottenham bergelut untuk merebut tempat di Liga Europa.

Kemenangan ini memastikan mereka masih dapat peluang untuk bersaing di Eropah musim depan.

Sejak perlawanan pertama Carlo Ancelotti sebagai pengurus di Everton, hanya Liverpool, Manchester United dan Manchester City yang memperoleh lebih banyak mata berbanding Everton.

Tetapi mereka belum pernah mengalahkan Tottenham sejak 2012 dan kekalahan pertama dalam empat perlawanan mereka menamatkan harapan untuk layak ke Eropah musim depan. – AFP