Mourinho terajui Roma musim hadapan

ROM, 5 MEI – Jose Mourinho akan mengambil alih tugasan sebagai jurulatih Roma dengan perjanjian selama tiga tahun bermula musim hadapan, kelab Serie A mengumumkan kelmarin.

Mourinho, dipecat oleh kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham pada bulan lalu, akan menggantikan rakan senegaranya, Paulo Fonseca yang bakal meninggalkan Roma pada penghujung kempen ini.

Mourinho kembali ke Itali di mana dia memimpin Inter Milan untuk memenangi treble pada 2010.

Pengurus berusia 58 tahun itu juga pernah memenangi Liga Juara-Juara bersama Porto pada 2004, tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea dan merangkul gelaran La Liga bersama Real Madrid pada 2012.

“Kami teruja dan gembira untuk mengalu-alukan Jose Mourinho menyertai keluarga AS Roma,” dedah presiden kelab, Dan Friedkin dan naib presiden, Ryan Friedkin.

Jose Mourinho akan membimbing AS Roma bermula musim hadapan. – AFP

“Seorang juara yang hebat dan memenangi trofi di setiap peringkat, Jose akan memberikan kepimpinan dan pengalaman yang luar biasa bagi projek bercita-cita tinggi kami.

“Pelantikan Jose adalah langkah besar dalam membina budaya kemenangan jangka panjang dan konsisten bagi keseluruhan kelab.”

Mourinho merangkul 25 trofi utama dalam kariernya dan menyertai sebuah kelab yang tidak pernah memenangi Serie A sejak 2001.

“Terima kasih kepada keluarga Friedkin kerana memilih saya untuk memimpin sebuah kelab yang hebat dan menjadi sebahagian daripada visi mereka,” kata Mourinho dalam kenyataannya.

“Ia adalah cita-cita dan dorongan sama yang sentiasa memberi motivasi kepada saya dan kami akan membina projek kemenangan dalam beberapa tahun akan datang.

“Semangat yang hebat mengenai peminat Roma meyakinkan saya untuk menerima tugas ini dan saya tidak sabar untuk memulakan musim hadapan,” tambahnya. – AFP