Mourinho:Martial perlu dengar cakap saya

MANCHESTER, 2 Jan – Bos Manchester United, Jose Mourinho memberi amaran kepada Anthony Martial bahawa dia perlu mendengar cakapnya berbanding apa yang dikatakan oleh ejennya jika dia mahu berjaya di Old Trafford.

Martial merupakan penjaring terbanyak United pada musim lepas dengan 17 gol, tetapi jaringan penyamaannya Sabtu lalu dalam kemenangan 2-1 ke atas Middlesbrough hanya jaringan keduanya dalam Liga Perdana musim ini dan kelimanya dalam semua persaingan.

Dan Mourinho percaya ejen pemain Perancis itu, Philippe Lamboley merupakan satu masalah di tengah-tengah laporan bahawa dia ‘mempertimbangkan’ satu pilihan bagi Martial untuk berpindah ke Sevilla.

“Anthony perlu mendengar cakap saya dan bukan ejennya,” kata bekas bos Chelsea itu.

“Martial telah bermain, mencipta peluang, dan menjaringkan gol. Dia berjuang, sangat positif. Saya tahu dia merupakan seorang pemain yang sangat berbakat.

“Dia merupakan seorang pemain yang mempunyai prestasi yang hebat untuk menjadi seorang pemain terbaik.

“Setiap hari dia perlu mendengar apa yang saya cakapkan dalam latihan, setiap saranan yang saya berikan untuk cuba memperbaiki permainan pemain-pemain saya.”

Jurulatih dari Portugal itu berkata bahawa Martial perlu mengikut jejak langkah Henrikh Mkhitaryan yang bergelut pada awal musim kendalian Mourinho sebelum berjaya mendapatkan prestasi terbaiknya dengan tiga gol dalam empat perlawanan terakhirnya.

“Dengan proses Mkhitaryan, hampir setiap hari ejennya menelefon saya dan berkata ‘ Mkhitaryan dengan anda akan menjadinya seorang pemain yang lebih hebat’,” kata Mourinho. – AFP