Moussa Diaby muncul wira julang Bayer Leverkusen

BERLIN, 20 JAN – Moussa Diaby muncul wira membantu pasukannya Bayer Leverkusen melonjak menduduki tempat kedua di Bundesliga semalam dengan kemenangan 2-1 ke atas Borussia Dortmund.

Pemain sayap Perancis itu berjaya menemukan jaringan pendahuluan di awal perlawanan namun Julian Brandt kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menentang bekas kelabnya itu.

Dortmund kelihatan kecewa ketika Diaby melakukan hantaran cantik untuk jaringan gol kemenangan yang dijaringkan oleh pemain tengah Leverkusen, Florian Wirtz yang berusia 17 tahun, 10 minit sebelum perlawanan tamat.

“Di separuh masa kedua kami bermain lebih terbuka tetapi akhirnya kami berjaya,” kata jurulatih Leverkusen, Peter Bosz.

Kemenangan itu adalah yang pertama bagi Leverkusen selepas lima perlawanan liga dan meletakkan mereka di tempat kedua dengan perbezaan gol. Leverkusen berkongsi 32 mata bersama RB Leipzig, yang akan menjadi tuan rumah menentang Union Berlin esok.

Aksi Moussa Diaby ketika mengawal bola semasa perlawanan Bundesliga antara Bayer Leverkusen dan Borussia Dortmund, semalam. – AP

Leverkusen ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich, yang akan menentang Augsburg esok di Bavaria.

Kekalahan itu merupakan tamparan baharu bagi Dortmund dalam misi memburu gelaran, di mana mereka kini tujuh mata berada di belakang Bayern.

“Kami tidak dapat mempertahankan untuk seri selama 90 minit,” kata Brandt.

“Banyak yang boleh berlaku dalam 17 perlawanan, tetapi kami masih jauh dari pendahulu Bayern yang berada di tangga teratas.”

Seperti yang dikatakan oleh kapten Dortmund, Marco Reus, perlumbaan gelaran ‘tidak dapat ditentukan baik sebelum mahupun sesudah perlawanan’ untuk pasukannya. Leverkusen mendahului perlawanan pada minit ke-14.

Dortmund berjaya menyamakan kedudukan di separuh masa kedua tetapi gagal mempertahankannya ketika Diaby melakukan hantaran kemas untuk Wirtz menjaringkan gol kemenangan. – AFP