Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Satu dalam empat lelaki di Negara Brunei Darussalam berisiko berhadapan kanser dalam kehidupan mereka.
Kes kanser diunjurkan meningkat sebanyak 108 peratus dari 2020 hingga 2024 berbanding peningkatan 22.8 peratus dari 2010 hingga 2019. Unjuran peningkatan curam itu boleh dikaitkan dengan meningkatnya pertumbuhan penduduk, jangka hayat, penuaan penduduk, perubahan dalam gaya hidup iaitu obesiti, merokok, alkohol dan pemakanan tinggi serta saringan dan intervensi diagnosis yang lebih baik.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Bulan Kesedaran Lelaki Movember 2023 dan Ketua Jabatan bagi Unit Penjagaan Paliatif dan Onkologi Perubatan, The Brunei Cancer Centre (TBCC), Dr Haji Zulkhairi bin Haji Mohamad dalam kata alu-aluannya semasa Pelancaran Kempen Movember dan Forum Awam yang berlangsung di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyempurnakan kempen Movember ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar dan Pengarah Perubatan PJSC, Dr Meera Sahib Kabeer.
Dr Haji Zulkhairi menyatakan lagi bahawa Movember merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu kesihatan lelaki yang sering kali terlepas pandang.

Kaum lelaki, jelasnya, berhadapan dengan cabaran perubatan yang unik dan kempen sepanjang bulan itu, menjadi sebuah platform untuk menangani isu-isu berkenaan di mana ia bukan sahaja menekankan kesihatan fizikal tetapi juga kesihatan mental mereka.
“Kaum lelaki sering kali dikondisikan untuk menyembunyikan emosi mereka, di mana ini membawa kepada meningkatnya insiden isu-isu kesihatan mental termasuk kemurungan dan kebimbangan,” katanya.
Beliau menekankan lagi bahawa Movember adalah mengenai meningkatkan kesedaran dan sokongan bagi kesihatan lelaki. Dalam hubungan itu, komuniti perubatan mengambil maklum akan pentingnya pergerakan itu serta menggalakkan semua orang untuk terlibat sama di mana ia dapat mengurangkan bebanan penyakit, memperbaiki kesihatan mental dan menyelamatkan nyawa.
Kempen Movember dilancarkan oleh PJSC dengan mengadakan sebuah forum awam bagi menandakan bermula Movember di mana ia memberikan penekanan kepada kesihatan lelaki.
Forum awam berkenaan menumpukan kepada usaha mengukuhkan kesihatan lelaki melalui pendekatan holistik dengan menyediakan sebuah platform untuk memupuk kesedaran, pengetahuan dan dialog terbuka mengenai pelbagai aspek kesejahteraan emosi, mental serta fizikal lelaki.
Ia mengetengahkan pembentangan daripada tiga orang penceramah iaitu Konsultan Onkologi Perubatan TBCC, Dr Ravi Sekhar yang membincangkan pentingnya untuk melakukan ujian saringan, langkah-langkah pencegahan dan memperbaiki pilihan gaya hidup, ahli Motivasi dan Kaunselor, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor yang menekankan pentingnya untuk mengejar matlamat kesihatan dan memberikan pandangan motivasinya serta Pegawai Narkotik Kanan, Biro Kawalan Narkotik, Awang Abdul Halim bin Haji Mohamed yang menyentuh mengenai isu-isu penyalahgunaan bahan dalam kalangan lelaki dan kesannya kepada kesihatan lelaki.
Sementara itu, semasa sesi perbincangan panel bersama, wira kanser limfoma dan prostat, Awang Eyad Samhan bin Nyawa mengongsi kisah perjalanannya menentang kanser. Beliau mengongsi bagaimana beliau melalui perjalanan kanser daripada diagnosis hingga ke rawatan dan keadaannya secara mental dan fizikal setelah melalui pengalaman itu.
Di samping itu, Awang Eyad Samahan turut memberikan pandangan mengenai kejayaan dan cabaran yang dialaminya serta pentingnya sokongan emosional daripada orang di sekelilingnya bagi melalui segala cabaran itu.
Semasa kempen Movember itu, PJSC komited untuk meningkatkan lagi kesedaran orang ramai khususnya lelaki bagi menjaga kesihatan mereka menerusi pendekatan holistik. PJSC akan terus menyebarkan kesedaran Movember sepanjang November dan menggalakkan kaum lelaki untuk berdiri teguh bagi kesihatan fizikal, emosional dan mental mereka.